JUARA….Sabah FC -foto oleh: Malaysia Football League
KOTA KINABALU: Sabah FC mengesahkan kejuaraan Piala Cabaran MFL selepas menundukkan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang penuh debaran di Stadium Likas, malam ini.
Lebih 20,000 penyokong yang membanjiri stadium menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan apabila terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan termasuk masa tambahan. Keputusan itu menjadikan agregat keseluruhan 1-1, sekali gus memaksa penentuan dibuat menerusi sepakan penalti.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sabah FC dilihat lebih agresif dan banyak mengawal permainan, namun kegagalan memanfaatkan peluang terhidang menyaksikan mereka terus buntu mencari gol.
Dalam masa sama, Penang FC turut memberi tentangan sengit dengan beberapa percubaan berbahaya hasil serangan balas pantas, namun kekentalan benteng pertahanan Sabah FC berjaya menafikan usaha tersebut.
Akhirnya, penentuan sepakan penalti menjadi pemisah apabila Sabah FC lebih tenang menyempurnakan empat sepakan berbanding tiga oleh Penang FC, sekali gus menghadiahkan trofi kejuaraan kepada skuad tuan rumah.



