ADVERTISEMENTspot_img

Ranau Pacu Pembangunan Seimbang Berteraskan Agenda Lokal SDGs

Para peserta bengkel bersama Tinus (tengah) selepas bengkel tersebut diadakan

RANAU: Pembangunan yang dilaksanakan di daerah Ranau perlu seimbang antara pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, selaras dengan agenda Localising Sustainable Development Goals (SDGs).


Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam berkata, ini perlu dijalankan memandangkan daerah ini mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian dan pembangunan komuniti, disokong oleh keunikan geografi serta kekayaan sumber alam.


Sehubungan dengan itu, lebih 40 peserta terdiri daripada wakil-wakil agensi yang berkenaan telah mengikuti Bengkel Pembangunan Kapasiti Intervensi Dasar Agensi Daerah Ranau (Siri 3) yang diadakan di sini baru-baru ini.


Bengkel itu telah berjaya dilaksanakan sebagai satu platform strategik bagi memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Strategik Daerah Ranau 2025–2040 secara lebih terselaras, bersepadu dan berimpak tinggi.


Bengkel ini merupakan satu inisiatif hasil usahasama antara All-Party Parliamentary Group of Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau.


Bengkel disertai pelbagai agensi kerajaan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dari tiga DUN iaitu Paginatan, Karanaan dan Kundasang, wakil NGO serta pemimpin kampung.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi di peringkat daerah.


Sebagai antara sembilan daerah di Sabah yang mempunyai Penyelaras Tempatan di bawah inisiatif APPGMSDG, Ranau telah menubuhkan Jawatankuasa SDG Daerah sejak tahun lalu.


Platform ini berfungsi sebagai saluran utama dalam membawa isu-isu akar umbi ke peringkat agensi untuk dibincangkan secara bersama dan seterusnya diterjemahkan kepada tindakan penyelesaian yang lebih efektif.


Kejayaan pelaksanaan bengkel ini turut memperlihatkan semangat dan komitmen tinggi Daerah Ranau, yang meneruskan inisiatif ini susulan maklum balas positif daripada penganjuran terdahulu.


Malah, penyertaan yang tinggi dalam bengkel sebelum ini meletakkan Ranau sebagai antara daerah paling aktif dalam pelaksanaan agenda SDG di Sabah.

Perbincangan hangat di kalangan peserta bengkel mencari solusi terbaik buat daerah Ranau


Sehubungan itu, bengkel ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh penyelarasan pembangunan di peringkat daerah melalui pertukaran pandangan, wacana dasar serta perkongsian strategik bersama agensi.


Fokus utama adalah bagi membincangkan dan memperincikan Pelan Tindakan Pembangunan Daerah Ranau yang selaras dengan 7 Teras Pembangunan Strategik Daerah Ranau 2025–2040.


Selaras dengan tema ‘Tadbir Urus Mampan Sebagai Pemacu Pembangunan Akar Umbi’, bengkel memberi penekanan kepada kepentingan tadbir urus yang efektif, kolaboratif dan berasaskan data, dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara terselaras, berimpak tinggi serta memberi manfaat langsung kepada komuniti di peringkat akar umbi.


Bengkel ini juga memberi fokus kepada cabaran utama pelaksanaan pembangunan, termasuk keperluan untuk meningkatkan penyelarasan antara agensi, memastikan kesinambungan program serta memastikan setiap inisiatif memberi impak sebenar kepada komuniti.


Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk Memperincikan tindakan agensi dan rentas agensi; Menyelaraskan pelaksanaan berdasarkan tujuh teras pembangunan daerah; Menetapkan peranan yang jelas dalam kalangan agensi; dan Memuktamadkan pelan tindakan dua tahun yang praktikal dan boleh dilaksanakan.


Pendekatan bengkel ini menekankan penggunaan data lapangan, pengalaman pelaksanaan serta keperluan sebenar komuniti dalam merangka pelan tindakan yang lebih realistik dan berimpak tinggi.


“Dapatan yang diperoleh melalui bengkel ini akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) bagi memastikan setiap cadangan dapat diselaras, dipertimbangkan dan dilaksanakan secara berimpak,” kata Tinus.


Sekiranya usaha ini diteruskan secara konsisten, Daerah Ranau berpotensi untuk menjadi model rujukan pembangunan daerah berasaskan SDG di Malaysia, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan ke-17 yang menekankan kepentingan kerjasama strategik.


Program ini telah diselaraskan oleh Penyelaras Tempatan APPGM-SDG Daerah Ranau, Norita Yapi, dengan sokongan Penyelaras Tempatan dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Tenom.


Semua pihak diseru untuk terus memperkukuh kerjasama secara bersepadu serta memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, berimpak dan memberi manfaat kepada masyarakat.


Turut hadir, Director, Policy Solutions Department, Secretariat APPGM-SDG Malaysia, Paniirselvam Jayaraman, bersama Pengarah Solusi Dasar APPGM-SDG, Ketua Eksekutif APPGMSDG Wilayah Sabah, Mc Jeanet Lempisik @ Mark, Pegawai Solusi Dasar APPGM-SDG Wilayah Sabah, Mohd Ikram Arman dan Pegawai Pengurusan Projek, Amirul Pukin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN