ADVERTISEMENTspot_img

KPDN Tumpas Penyelewengan Diesel Dalam Serbuan Mengejut Ops Tiris 4.0 di Beaufort

BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort menggagalkan satu kegiatan penyelewengan diesel menerusi serbuan mengejut Ops Tiris 4.0 ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan di sebuah stesen minyak di sini, baru-baru ini.

Serbuan itu dilaksanakan hasil maklumat awam serta risikan anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berkenaan sedang mengisi minyak diesel di pam stesen terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter diesel.

Susulan itu, pihak KPDN bertindak menyita kenderaan berkenaan, minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata pemandu kenderaan tersebut telah dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

“Selain itu, nozel pam di stesen minyak berkenaan turut dikenakan tindakan penguatkuasaan, manakala dua laporan polis telah dibuat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan proses siasatan.

Julie berkata pelaksanaan Ops Tiris 4.0 mencerminkan komitmen berterusan KPDN dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.

“KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan,” tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN