Petrus
PENAMPANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Moyog menyuarakan kebimbangan serius terhadap kewujudan penempatan setinggan haram yang semakin berleluasa di kawasan hutan bakau sekitar Alamesra dan pinggir bandar Kota Kinabalu, yang disifatkan sebagai ancaman kepada kedaulatan tanah negeri serta keselamatan rakyat tempatan.
Naib Ketua Bahagian PGRS N.26 Moyog, Petrus C. Mojuntin berkata, penularan imej-imej udara baru-baru ini mendedahkan kewujudan penempatan tidak terancang yang disifatkan sebagai “dunia tersembunyi” di sebalik pembangunan pesat bandar raya.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan aspek visual atau perancangan bandar, sebaliknya merangkumi pencerobohan tanah negeri serta risiko besar terhadap kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata, antara kebimbangan utama ialah kemusnahan ekosistem hutan bakau yang menjadi benteng semula jadi perlindungan pesisir pantai Sabah, susulan pembinaan kediaman haram tanpa sistem sanitasi yang sempurna.
“Selain itu, penempatan tidak teratur ini turut berpotensi menjadi lokasi aktiviti jenayah seperti pengedaran dadah dan jenayah jalanan, di samping menyukarkan pemantauan pihak berkuasa berikutan kehadiran individu tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Petrus turut menegaskan isu ketidakadilan dalam penggunaan utiliti apabila berlaku penyambungan bekalan elektrik dan air secara haram di kawasan setinggan, sekali gus merugikan kerajaan negeri serta meningkatkan risiko kebakaran.
Dalam masa sama, beliau berkata pertumbuhan populasi pendatang tanpa kawalan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan, khususnya dari segi keseimbangan demografi serta pemeliharaan identiti budaya dan hak sosio-ekonomi anak watan Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar melaksanakan operasi bersepadu secara lebih agresif dan konsisten bagi menangani isu berkenaan.
“Kita tidak boleh membiarkan penempatan sementara ini berkembang menjadi penempatan kekal yang mencabar undang-undang negara,” tegasnya.
Menurut beliau, PGRS Bahagian Moyog akan terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memastikan keselamatan komuniti terpelihara serta kedaulatan tanah Sabah terus dipertahankan.



