ADVERTISEMENTspot_img

Insiden kereta api Pangi: Enam individu terlibat terima motosikal baharu, bukti keprihatinan KM

SYUKUR….Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penerima enam buah motosikal sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

TENOM: : Enam individu yang terlibat dalam insiden kereta api antara Tenom dan Pangi baru-baru ini menerima sumbangan enam buah motosikal bagi menggantikan motosikal mereka yang remuk dalam kejadian itu.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan tersebut disampaikannya bagi pihak Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib masyarakat luar bandar yang berdepan kesukaran pengangkutan.

Menurutnya, bantuan berkenaan diharapkan dapat membantu golongan belia terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan yang sukar diakses.

“Hari ini kita menyampaikan enam buah motosikal kepada enam anak muda yang terlibat dalam peristiwa kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu.

“Sumbangan ini disampaikan melalui saya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor. Ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal itu kepada penerima di Tenom.

Jamawi berkata, laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.

Katanya, dalam keadaan tertentu, penduduk terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke Pekan Tenom sekiranya laluan tidak dapat digunakan.

“Setiap kali hujan ataupun musim tengkujuh, laluan ini memang terjejas. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, mereka terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam.

“Inilah kesulitan yang mereka hadapi dan perkara ini difahami oleh Ketua Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Krajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah supaya mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.

Menurutnya, walaupun kawasan berkenaan masih belum mempunyai alternatif pengangkutan yang mencukupi, faktor keselamatan penduduk tetap perlu diberi perhatian.

Jamawi berkata, masyarakat pedalaman juga menunjukkan semangat tinggi untuk terus berusaha memajukan diri dan keluarga walaupun berdepan kekangan infrastruktur.

“Walaupun tinggal di kawasan pedalaman yang tidak boleh dihubungi kenderaan, mereka masih mempunyai inisiatif untuk memajukan diri serta membantu keluarga masing-masing,” katanya.

Senarai nama penerima ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan telah membawa rombongan pimpinan Kampung Pangi bertemu Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir. Philemon Lajawai bagi mendapatkan penjelasan mengenai projek pembinaan jalan Tenom–Pangi.

Katanya, taklimat yang diberikan memaklumkan cadangan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 9.2 kilometer yang akan menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.

Juruperunding / konsultan yg dilantik di jangka akan menyiapkan kerja pada Mei tahun ini” katanya.

Menurut Jamawi, projek berkenaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas pelaksanaannya bermula.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, penduduk masih memerlukan pengangkutan bagi menjalankan aktiviti harian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api yang ada.

Namun katanya, projek jalan raya itu memberi harapan baharu kepada penduduk kerana ia telah dimasukkan dalam program pembangunan JKR Sabah.

Dalam program berasingan kelmarin, Jamawi menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Rahman Tenom dan merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Chung Hwa bersama ahli Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), warga pendidik serta pelajar sekolah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN