KENINGAU: Komitmen memperkukuh perpaduan masyarakat terus dizahirkan apabila Ahli Parlimen P.180 Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyalurkan sumbangan dana kepada Persatuan Hakka Keningau dalam satu penyerahan ringkas, sempena Majlis Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen P180 Keningau di Sabindo Resort di sini kelmarin.
Sumbangan tersebut diterima oleh Presiden Persatuan Hakka Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, yang mewakili seluruh jawatankuasa dan ahli persatuan.
Menurut beliau, bantuan berkenaan akan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan dan program komuniti persatuan, termasuk usaha memelihara warisan budaya serta memperkukuh hubungan antara masyarakat setempat.
Datuk Dr Jeffrey berkata, sokongan kepada pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Hakka Keningau adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan setiap komuniti di Parlimen Keningau terus diberi perhatian dan peluang memperkasa peranan masing-masing dalam pembangunan sosial.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di kawasan Parlimen P.180 perlu terus dipelihara melalui kerjasama erat antara pemimpin dan pertubuhan akar umbi.
Penyerahan sumbangan itu mencerminkan sokongan berterusan terhadap inisiatif komuniti yang berperanan sebagai jambatan perpaduan serta pemangkin kesejahteraan masyarakat di Keningau.



