Jamawi (tengah) bersama yang pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan tetamu yang lain menggaul ‘yee sang’ yang melambangkan kemakmuran dan tuah sempena Makan Malam Tahun Baharu Cina DUN Melalap.
TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar mengajak warga Melalap terus berganding bahu dan bekerja keras bagi membangunkan Tenom ke tahap lebih maju.
Beliau berkata demikian di hadapan seramai 3,000 komuniti Tionghua dan masyarakat setempat pada Majlis sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, di Malleh Square, di sini.
Beliau berkata, dalam tempoh 75 hari pertama sebagai wakil rakyat dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), antara keutamaan yang dilaksanakan ialah menaik taraf sistem perparitan yang sekian lama menjadi rungutan peniaga.
“Sebanyak 156 penutup parit telah dibaiki menggunakan peruntukan ADUN, termasuk kerja-kerja pembaikan parit yang rosak,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kapitan-kapitan yang membantu menyelaras usaha berkenaan.
Selain itu, Jamawi berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah supaya memeriksa serta membaik pulih lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi, yang turut dilaksanakan menggunakan peruntukan ADUN.
“Kita mahu Tenom sentiasa bersih, teratur dan terang pada waktu malam. Apabila suasana lebih selesa dan menarik, pelancong akan datang. Apabila pelancong bertambah, perniagaan akan lebih rancak dan pendapatan penduduk turut meningkat,” katanya.
Dalam sektor pertanian, beliau memaklumkan bahawa pembinaan Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) kini telah mencapai tahap 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April ini.
Beliau berharap para petani dapat menghantar hasil buah-buahan ke pusat berkenaan yang akan dikendalikan oleh Korporasi Pembangunan Desa (KPD), khususnya menjelang musim buah akan datang.
Tambahnya lagi, sebuah pusat pemprosesan hasil buah-buahan bernilai RM1.2 juta turut akan dibina di Jalan RTM dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Jamawi dalam pada itu mengalu-alukan kepulangan ahli-ahli masyarakat Tionghua serta semua mereka yang balik ke Tenom sempena sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus memeriahkan suasana dan mengeratkan perpaduan komuniti setempat.
Turut diberikan penghargaan terima kasih ialah pengerusi penganjur majlis sambutan Tahun Baharu Cina DUN Melalap, Chew Vui Fah dan AJK pelaksana.
Hadir hadir Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Denesly Justin serta Kapitan-kapitan Cina DUN Melalap.



