KUALA LUMPUR: Isu kesesakan melampau, pendaftaran yang lembap serta waktu menunggu panjang di Hospital Ranau mencetuskan tindakan segera dan tegas daripada Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, yang mengarahkan langkah pembetulan drastik dilaksanakan serta-merta bagi menamatkan tekanan berpanjangan terhadap pesakit di daerah pedalaman itu.
Dzulkefly memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bersama pengurusan hospital telah diarahkan melaksanakan penambahbaikan operasi tanpa kompromi, termasuk mobilisasi segera pegawai perubatan tambahan bagi menyokong 16 doktor sedia ada.
Antara arahan utama ialah pembukaan kaunter pendaftaran dan klinik lebih awal bermula 7.30 pagi, dengan operasi berterusan tanpa gangguan waktu rehat sehingga semua pesakit menerima rawatan. Langkah itu bertujuan memutuskan rantaian kelewatan yang selama ini membebankan penduduk setempat.
“Bagi melicinkan aliran pesakit, penjadualan semula turut diperkenalkan apabila penduduk luar pekan diberi keutamaan pada slot pagi, mengambil kira kebergantungan mereka kepada pengangkutan awam.
“Penduduk setempat pula dijadualkan hadir pada sesi petang bagi mengelakkan kesesakan bertindih,” katanya dalam satu jawapan bertulis kepada Jonathan.
Dzulkefly turut memberi amaran keras bahawa insiden kaunter ditutup seawal 8.30 pagi tidak boleh berulang. Sehubungan itu, Pengarah Hospital diarahkan turun padang setiap pagi bagi memastikan kehadiran petugas di kaunter, dan bukan sekadar memantau dari pejabat.
Mengulas kelemahan pengurusan sebelum ini, beliau menyifatkan kejadian hanya dua doktor bertugas di jabatan pesakit luar pada 3 Februari lalu sebagai tidak boleh diterima. Audit serta penyelarasan semula jadual doktor dan pakar melawat turut diperintahkan segera bagi memastikan perkhidmatan harian tidak lagi tergendala.
“Saya akan memantau sendiri pelaksanaan semua arahan ini. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Ranau yang menjadi mata dan telinga rakyat di kawasan itu,” katanya, sambil memaklumkan satu kenyataan media rasmi oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah telah dikemukakan sebagai rujukan.
Perkembangan terbaharu itu mencerminkan tekanan berterusan wakil rakyat Sabah yang berjaya memacu tindakan pantas kerajaan pusat, sekali gus menyuntik harapan baharu penduduk Ranau agar isu kesihatan di pedalaman tidak lagi dipinggirkan dan maruah perkhidmatan kesihatan awam kembali diperkasakan.



