Dari kiri ( SUT Datuk Maria Chong, Datuk Julita Majungki, TSUT Henry Idol dan TSUT Alijah Ismail
KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) komited memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah menerusi pelaksanaan dasar serta program yang berpaksikan realiti setempat dan keperluan sebenar masyarakat di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Menterinya, Datuk Julita Manjugki, berkata tanggungjawab KWKKR amat signifikan memandangkan skop kementerian itu menyentuh kehidupan rakyat secara langsung, khususnya dalam konteks Sabah yang berdepan cabaran geografi, kepelbagaian budaya, jurang sosioekonomi serta akses kepada perkhidmatan asas.
Menurut beliau, pembangunan wanita kekal sebagai teras utama agenda kerajaan negeri kerana wanita Sabah merupakan aset penting pembangunan negeri. Justeru, usaha pemerkasaan akan terus diperkukuh melalui peluasan peluang ekonomi, latihan kemahiran, keusahawanan serta penglibatan aktif wanita dalam kepimpinan komuniti.
Pada masa sama, perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak daripada keganasan, pengabaian dan eksploitasi akan dipertingkat menerusi pendekatan bersepadu bersama agensi berkaitan.
Dalam aspek kesihatan, Julita yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah mengakui cabaran besar masih wujud, khususnya berkaitan fasiliti serta akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan akan terus diperkasa melalui pengukuhan fasiliti, penambahan serta penggantian peralatan perubatan dan bukan perubatan, pemantapan sumber manusia, selain kerjasama antara agensi bagi memastikan tiada rakyat Sabah tercicir daripada menerima rawatan berkualiti.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkasa kesedaran kesihatan awam yang merangkumi pencegahan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, di samping penekanan terhadap penjagaan kesihatan mental menerusi program pendidikan serta advokasi berterusan.
Dalam pada itu, Julita berkata KWKKR memainkan peranan utama dalam menjaga kebajikan golongan rentan termasuk golongan miskin, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan kanak-kanak. Penyaluran bantuan dan perkhidmatan, katanya, perlu dilaksanakan secara telus, berkesan dan berimpak tinggi sejajar usaha kerajaan negeri membasmi kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau turut menyentuh isu kos sara hidup yang tinggi di Sabah yang memerlukan pendekatan baharu dan lebih menyeluruh, sekali gus menuntut kerjasama erat antara KWKKR dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menangani cabaran tersebut secara berkesan.
Menyentuh usaha ke arah mewujudkan negeri bebas dadah, Julita menegaskan masalah penyalahgunaan dadah masih memerlukan perhatian serius. Program pencegahan serta penguatkuasaan akan diperkukuh dengan penglibatan berterusan agensi seperti PEMADAM dan AADK, khususnya dalam mendidik golongan pelajar sebagai generasi pelapis masa depan.

KENANGAN..Datuk Julita (tengah ) bergambar bersama warga KWKKR dan Jabatan dan agensi di bawah kementerian
Pada masa sama, peranan ibu bapa dan masyarakat dalam membina keluarga sihat serta komuniti berdaya tahan perlu diperkasakan menerusi pelbagai program pembangunan keluarga dan pengukuhan perpaduan nasional.
Beliau menekankan tadbir urus yang cekap, berkesan dan berintegriti sebagai asas kecemerlangan penyampaian perkhidmatan KWKKR, selain mengalu-alukan kolaborasi erat melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta penglibatan aktif masyarakat.
Menurut Julita, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan terbukti membolehkan pelbagai program dilaksanakan walaupun berdepan kekangan, khususnya dalam sektor wanita, kesihatan dan kebajikan. Kerjasama itu diharap dapat terus diperkasa selaras aspirasi Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani.
Pada majlis Amanat Menteri berkenaan, KWKKR turut melancarkan visi dan misi baharu kementerian bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menetapkan hala tuju KWKKR sebagai organisasi peneraju perkhidmatan sosial di Sabah, bukan sekadar sebagai penyedia bantuan, malah berperanan aktif mencorak pembangunan masyarakat, khususnya golongan rentan.
Pelancaran dasar organisasi turut dilaksanakan bagi memperjelas budaya kerja serta komitmen kementerian dalam merealisasikan visi berkenaan.



