KOTA KINABALU: Kenaikan tarif elektrik di Sabah yang berkuat kuasa 1 Februari lalu dijangka memberi tekanan besar kepada sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS), khususnya perniagaan mikro dan nano yang beroperasi dengan margin keuntungan sangat kecil, menurut Persatuan Usahawan Sabah (PUSH).
Presidennya, Puan Jessie, berkata peningkatan kos elektrik sebagai kos operasi asas berisiko menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil, selain mengehadkan keupayaan mereka untuk berkembang dan bersaing dalam pasaran.
“Usahawan mikro dan nano merupakan tulang belakang ekonomi tempatan, tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai ruang kewangan yang besar untuk menyerap kenaikan kos secara mendadak,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, elektrik adalah keperluan asas bagi kebanyakan perniagaan kecil termasuk pemprosesan makanan, penyimpanan sejuk, bengkel, perniagaan dari rumah serta perkhidmatan digital berskala kecil.
“Apabila bil elektrik meningkat, perbelanjaan bulanan turut meningkat. Ini bukan sahaja menjejaskan aliran tunai, malah mengehadkan pelaburan semula dalam perniagaan seperti menambah pekerja atau menaik taraf peralatan,” katanya.
Puan Jessie turut memberi perhatian kepada kesan rantaian (chain reaction) yang bakal tercetus susulan kenaikan tarif tersebut. Walaupun kerajaan memperkenalkan diskaun 10% kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menjamin keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan, beliau berkata langkah itu tidak mencukupi untuk melindungi keseluruhan ekosistem perniagaan.
“Ramai pembekal, pengilang kecil, pengangkut, pembungkus dan perniagaan sokongan lain tidak menikmati diskaun yang sama. Mereka terpaksa menanggung kenaikan kos elektrik sepenuhnya dan kos ini akhirnya dipindahkan kepada peniaga mikro dan nano,” katanya.
Beliau berkata situasi tersebut akan mendorong kenaikan harga bahan mentah dan perkhidmatan, sekali gus memaksa peniaga kecil menaikkan harga produk kepada pengguna.
“Ini adalah kesan rantaian yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya memberi tekanan kepada pengguna serta menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup,” tambahnya.
Dalam jangka sederhana, PUSH bimbang tekanan kos berterusan akan membantutkan perkembangan usahawan baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar di Sabah. Keadaan ini juga berpotensi melemahkan usaha kerajaan untuk memperkukuh rantaian ekonomi domestik dan meningkatkan kadar formalisasi perniagaan kecil.
Sehubungan itu, Puan Jessie menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Skim Diskaun Elektrik Khas untuk Usahawan Mikro dan Nano merangkumi semua sektor, dan tidak terhad kepada pertanian sahaja.
Menurutnya, skim tersebut boleh dilaksanakan secara bersasar dan bertahap berdasarkan tahap penggunaan elektrik, saiz perniagaan dan jumlah pekerja, bagi mengelakkan beban kos yang mendadak ke atas peniaga kecil.
“Pendekatan ini lebih adil dan realistik. Ia bukan sahaja membantu mengekalkan kestabilan harga produk, tetapi juga melindungi pengguna serta menyokong pertumbuhan usahawan tempatan secara mampan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PUSH menyokong usaha kerajaan untuk menambah baik infrastruktur dan memastikan kelestarian sektor tenaga di Sabah, namun dasar berkaitan kos utiliti asas perlu mengambil kira keupayaan sebenar perniagaan kecil.
“Pembangunan ekonomi yang inklusif hanya boleh dicapai jika golongan yang paling terkesan tidak dipinggirkan,” katanya.



