Redonah bersama kakitangan Sedcovest Holdings Sdn Bhd di Wisma Sedco di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah Datuk Redonah Bahanda dilantik sebagai Pengerusi baharu Sedcovest Holding Sdn Bhd.
Redonah secara rasmi memulakan tugasnya hari ini di Pejabat Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Wisma Sedco Wawasan Plaza di sini hari ini.
Beliau telah diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan hala tuju Sedcovest yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Abd Rahim Md Zain dan pihak pengurusan Sedcovest Holdings Sdn Bhd.
Redonah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan.
Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk memastikan Sedcovest terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berjaya.
Redonah menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang inklusif perlu bermula di peringkat akar umbi dengan menyediakan peluang latihan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan perniagaan serta pasaran yang lebih luas kepada wanita yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Selain itu, komitmen beliau dalam memperkasa ekonomi dan keusahawanan wanita luar bandar dilihat sebagai langkah tepat ke arah pembangunan ekonomi yang lebih seimbang, inklusif dan mampan, sejajar dengan agenda pembangunan negeri Sabah.
Redonah turut dibawa melawat premis-premis perniagaan dan kemudahan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) yang baru di Anjung Selera, Teluk Likas bersama-sama dengan pihak Pengurusan.
Turut hadir dalam taklimat itu Pengurus Besar, Abd Rahim Md Zain, Pengurus Kewangan dan Akaun, DK Elymanizan Pg Masri, Pengurus Pembangunan Usahawan, Nor Jahan Yaakub, Pengurus Pembangunan Sumber Manusia & Pentadbiran, Cannisius Ebin Gon, Pengurus Pembangunan Projek & Perniagaan Malizah Oldy dan Pengurus Pengurusan Hartanah, Dayang Hanizah Mohd Yusop.



