30 C
Kota Kinabalu
Rabu, November 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ramasamy: Tindakan Ewon Keluar Kerajaan Perpaduan Cerminan Keberanian

KUALA LUMPUR: Pengerusi Urimai, P. Ramasamy, menyifatkan tindakan Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta menarik partinya keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebagai keputusan berani yang lahir daripada kekecewaan terhadap pendirian kerajaan Persekutuan berhubung isu hak kewangan Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramasamy berkata Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tidak seharusnya mempersoalkan keikhlasan Ewon kerana tindakan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.

Menurutnya, Ewon mengambil keputusan berundur selepas merasakan kerajaan Persekutuan tidak menunjukkan komitmen jelas untuk menghormati keputusan mahkamah tersebut. Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memaklumkan bahawa meskipun Jabatan Peguam Negara tidak merayu keputusan itu, rayuan akan dibuat terhadap alasan penghakiman, yang menurut Ramasamy menimbulkan lebih banyak persoalan.

Ramasamy berkata kenyataan itu mengukuhkan kebimbangan Ewon bahawa kerajaan Persekutuan tidak benar-benar berhasrat melaksanakan keputusan mahkamah berhubung hak kewangan Sabah.

Beliau turut mengkritik Loke yang didakwanya tidak lagi memperjuangkan idealisme Malaysian Malaysia, sambil menyifatkan Ewon sebagai pemimpin yang menunjukkan komitmen lebih tinggi dalam mempertahankan hak Sabah berbanding pemimpin politik Semenanjung.

Ramasamy juga mempersoalkan pandangan Loke yang menyarankan Ewon membawa isu tersebut di mesyuarat Kabinet, dengan menyoal sama ada pemimpin DAP sendiri pernah memperjuangkan hak masyarakat Cina dan India ketika berada dalam kerajaan.

Beliau mendakwa DAP telah menyimpang daripada prinsip asalnya dan kini “semakin menyerupai MCA”, selain menyatakan bahawa parti itu gagal memperjuangkan hak bukan Melayu di Semenanjung dan tidak wajar mempersoalkan tindakan pemimpin Sabah yang mempertahankan hak negeri itu.

Ramasamy menegaskan bahawa keputusan Ewon melepaskan jawatan merupakan suatu tindakan berprinsip, dan berkata pemimpin Persekutuan harus menghormati pendirian tersebut demi masa depan lebih progresif untuk Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN