TELUPID: Program Masterclass Vokal Telupid 2025 anjuran MV Event & Entertainment dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah serta Fortissimo Music Studio Tuaran telah berlangsung dengan jayanya di Aisyah Homestay, Telupid selama dua hari penuh pengisian baru-baru ini.
Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Vokal Telupid yang telah diadakan pada bulan Ogos 2025 yang lalu di daerah yang sama.
Kali ini, fokus diberikan kepada pengukuhan kemahiran lanjutan teknik vokal, kawalan suara serta keyakinan persembahan pentas secara profesional dan mempelajari apa yang dimahukan oleh juri bagi setiap persembahan yang dipersembahkan dan banyak lagi.
Masterclass ini menghimpunkan semula peserta-peserta berbakat yang pernah mengikuti bengkel pertama, bagi memberi peluang kepada mereka memperbaiki teknik nyanyian melalui sesi latihan intensif dan tunjuk ajar secara individu dan berkumpulan.
Sepanjang dua hari bengkel, para peserta lebih didedahkan kepada sesi praktikal, selain sesi penjurian semasa persembahan akhir semua peserta, di mana markah diberikan berdasarkan aspek vokal, gaya persembahan, kreativiti dan penampilan.
Program itu dijayakan oleh tenaga pengajar utama yang tidak asing lagi iaitu Rhowell Rolland, di mana kehadirannya sebagai tenaga pengajar turut menjadi antara nilai tambah utama dalam penganjuran Masterclass Vokal Telupid 2025.
Penganjur program, Sylviana Viana Saiki @Vie Jimmy berkata, Rhowell merupakan seorang jurulatih vokal dan pengiat seni suara yang berpengalaman yang aktif dalam pelbagai platform pembangunan bakat di Sabah.
“Saya memilih dia (Rhowell) berdasarkan kepakarannya, bukan sahaja dalam bidang vokal tempatan tetapi juga vokal moden serta persembahan pentas, sekaligus memberi peluang kepada peserta untuk menerima tunjuk ajar daripada individu yang berpengalaman dalam industri hiburan tempatan.
“Oleh sebab itu kolaborasi untuk penganjuran bengkel seumpama ini sudah bermula sejak 8 tahun yang lalu.
“Menariknya juga Rhowell juga merupakan salah seorang juri bagi pertandingan Sabah Voice 2025 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota KInabalu, bersama dua artis terkenal tanah air, Stacy Anam dan Akim Ahmad baru-baru ini,” katanya.

Pemenang Persembahan Terbaik, (dari kiri) Roger S Enty dan kanan Florina Marcus diiringi Rhowell (tengah)
Tambahnya, penglibatan Rhowell dalam pertandingan berprestij itu membuktikan kredibiliti serta sumbangannya dalam membantu bakat-bakat baharu di Sabah ke peringkat yang lebih profesional.
Sylviana merakamkan penghargaan kepada Rhowell, kru teknikal, para peserta, serta kepada Saiki Suanti dan Sherlisa S atas sokongan serta sumbangan dalam penyediaan hadiah kepada para peserta yang berjaya mendapat tempat teratas dalam aktiviti penilian di akhir bengkel.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai penganjur yang buat pertama kalinya menyediakan makanan dan minuman sendiri untuk peserta sepanjang dua hari bengkel.
Beliau dibantu oleh Aaron Duff Alfredchris, dan kerjasama itu mewujudkan suasana yang hangat, seolah-olah sebuah keluarga yang berkumpul, belajar dan makan bersama.
“Pengalaman tersebut bukan sahaja mencipta pengalaman manis, tetapi juga mengeratkan hubungan antara peserta, tenaga pengajar dan penganjur secara lebih rapat serta mesra,” katanya.
Sylviana turut mengumumkan keputusan akhir bengkel yang memperlihatkan semangat tinggi serta kreativiti luar biasa daripada semua peserta.
“Setiap peserta menampilkan pesembahan yang terbaik dan memuaskan hati, dengan keunikan serta gaya tersendiri yang menyerlahkan potensi masing-masing. Namun, hanya satu persembahan sahaja yang akan dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.
Persembahan terbaik dimenangi oleh pasangan duo Roger S Enty dan Florina Marcus.
Bagi kategori yang memperolehi markah paling tertinggi pilihan rakan peserta yang lain ialah trio di antara Cikgu Mohammad Ali Bin Karimi, Cikgu Hildy @ Boy Albert dan Alvein Dee Albenus.
Trio ini mempersembahkan persembahan acapella dengan lagu berjudul ‘Stand By Me’ yang memang sangat memukau dan ada aura tersendiri.
Sijil penghargaan kepada semua peserta juga telah disampaikan kepada semua peserta oleh Rhowell, dan pengiktirafan diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha, displin dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang bengkel berlangsung.
1 – Pemenang Persembahan Terbaik, (dari kiri) Roger S Enty dan kanan Florina Marcus diiringi Rhowell (tengah)
2 – Pemenang Trio (markah tertinggi pilihan peserta) – Cikgu Hildy (kiri), Alvein Dee (tengah) dan Cikgu Mohammad Ali (kanan)
3 – Sylviana, Rhowell dan para peserta bergambar kumpulan selepas tamat program



