ADVERTISEMENTspot_img

Armizan tempelak Warisan dalam polemik tuntutan 40 peratus hasil Sabah

Datuk Armizan


KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, terus mempertajam suhu politik negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 apabila membidas kepimpinan Parti Warisan berhubung isu tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Armizan, melalui kenyataan video terbaharu, menyifatkan kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang media pada 14 Oktober lalu sebagai satu pengesahan terbuka bahawa kerajaan Warisan ketika memerintah Sabah pernah bersetuju menerima pemberian khas hanya sebanyak RM53.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 2019.

Menurut beliau, alasan yang diberikan kononnya keputusan itu dibuat atas dasar “timbang rasa” terhadap kedudukan kewangan Persekutuan, termasuk hutang negara dan saiz Belanjawan 2020 sebanyak RM200 bilion, tidak boleh diterima kerana ia jelas mengetepikan hak termaktub rakyat Sabah.

“RM53.4 juta itu terlalu jauh daripada hak 40 peratus yang diperuntukkan dalam Perkara 112C

“Kerajaan Warisan sendiri bersetuju mengenepikan hak itu atas alasan simpati. Bila berkuasa, federal-first, state’s rights can wait,” tegasnya.



Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut mempersoalkan pendirian beberapa pemimpin lain yang menurutnya masih berdiam diri, khususnya Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau menuntut penjelasan sama ada Madius, ketika itu Timbalan Ketua Menteri Sabah dan anggota Kabinet Negeri, turut menyokong penerimaan RM53.4 juta tersebut, serta sama ada keputusan itu dibuat berdasarkan pembentangan rasmi berhubung kedudukan kewangan dan hutang Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat Kabinet Sabah pada 16 Oktober 2019.

Dalam masa sama, Armizan menyentuh semula rakaman video tahun 2023 yang pernah tular memaparkan pertikaman lidah antara beliau dan Madius di Parlimen, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai “Madius sekolahkan Armizan”.

“Lebih dua tahun saya biarkan kerana hormat orang lama. Tapi bila ada yang kongsi semula, maka menjadi hak saya untuk menjawab

“Atau lebih tepat, mereka sudah menjawab sendiri melalui kenyataan terkini mereka,” katanya.

Armizan turut mengumumkan penerbitan “video kedua” beliau bertajuk DSP Madius 2023 Vs DSP Madius 2025, yang dijangka mengulas lanjut mengenai percanggahan pendirian pemimpin tertentu dalam isu hak 40 peratus.

Dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh mengundi, Armizan memberi bayangan bahawa isu hak negeri akan terus menjadi medan utama pergelutan politik Sabah.

“Setakat hujah cytro, saya tidak layan. Kita mahu pemimpin yang berani bertanggungjawab atas kata-kata mereka,” katanya, memberi amaran bahawa lebih banyak pendedahan akan dibuat termasuk berkaitan soal warta dan interim bayaran khas.




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN