KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dengan kerjasama PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) menganjurkan Bengkel Pengurusan Keselamatan Right-of-Way (ROW) Paip Gas Sabah selama dua hari bagi memperkukuh keselamatan infrastruktur gas di negeri itu.
Program yang berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober di Sabah International Convention Centre (SICC) itu menghimpunkan lebih 150 peserta mewakili 52 agensi kerajaan, syarikat utiliti, pemain industri dan wakil komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Nasser Abdul Wahid, berkata kerjasama strategik itu mencerminkan iltizam bersama dalam memastikan pembangunan tenaga Sabah dilaksana secara bertanggungjawab dan tersusun.
“Di Sabah, laluan paip dan koridor utiliti merentasi kampung, ladang, kawasan pemuliharaan dan zon industri. Ia membuka peluang pembangunan dan akses tenaga, namun turut membawa risiko sekiranya aspek keselamatan diabaikan,” katanya.
Bengkel berkenaan menampilkan sesi Dialog Kepimpinan yang membincangkan hala tuju pengurusan serta penguatkuasaan ROW. Panel terdiri daripada Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Hj. Zulkifly Sulaiman; Pengurus Besar Kanan Pengurusan Operasi & Pengeluaran Malaysia Petroleum Management (MPM), Handan Ramli; dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abdul Rahman. Datuk Ir. Nasser bertindak selaku moderator.
Perbincangan turut merujuk insiden kemalangan Putra Heights di Semenanjung, yang menjadi peringatan terhadap keperluan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan risiko paip gas. Dengan laluan paip Sabah merentasi kawasan sensitif dan beraneka fungsi, garis panduan khusus dilihat amat diperlukan.
Bengkel itu turut menggesa penyelarasan industri yang lebih kukuh, kerjasama rapat dengan agensi kerajaan serta kesedaran komuniti bagi membudayakan nilai “Kita Jaga Kita” dalam keselamatan infrastruktur tenaga. Penglibatan masyarakat dianggap penting untuk melindungi prasarana yang menyokong ekonomi serta kehidupan harian mereka.
“Kita mahu menghasilkan langkah konkrit bagi melindungi nadi tenaga Sabah. Kerjasama semua pihak penting bagi menjamin keselamatan, kelestarian dan sekuriti tenaga untuk generasi akan datang,” kata Nasser.
Menurutnya, Enakmen Bekalan Gas 2023 sudah menyediakan peruntukan berkaitan pemeriksaan dan akses, dan kini tiba masanya untuk memperkenalkan garis panduan ROW yang jelas.
ECoS menegaskan garis panduan berkenaan akan dibangunkan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa tetapi disesuaikan dengan realiti Sabah, sekali gus mengukuhkan kerangka tenaga negeri untuk jangka panjang.
Bengkel itu turut menjadi landasan awal kepada pembangunan garis panduan ROW yang menyelaras keseimbangan antara keselamatan, alam sekitar, keperluan pembangunan dan kepentingan komuniti selaras dengan Pelan Induk & Pelan Jalan Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menyasarkan jaminan bekalan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.



