ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri komited perkukuh infrastruktur tenaga Sabah: Nizam Titingan




KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk memperkukuh infrastruktur tenaga di negeri ini bagi memastikan rakyat menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan mampan pada masa hadapan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha berterusan sedang digerakkan melalui Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dengan pelaksanaan projek-projek tenaga bernilai RM260 juta di seluruh negeri.

“Antara projek yang sudah siap termasuk Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu, Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang, PPU Ranau, PPU Batu Sapi, PMU Universiti Malaysia Sabah (UMS), sistem perlindungan dalam talian (Protection On-Line Monitoring) serta Sistem Pengukuhan 11kV Labuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah selepas gangguan besar berpunca daripada kerosakan pada talian penghantaran 275kV Kolopis, Segaliud.

“Usaha gigih mereka membolehkan bekalan dipulihkan sepenuhnya, sekali gus mengembalikan kelegaan kepada ratusan ribu pengguna yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam melahirkan rasa sedih berhubung laporan seorang kakitangan SESB yang dikhuatiri lemas ketika bertugas di Apin-apin, Keningau baru-baru ini.

“Saya berdoa agar operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan dan keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi dugaan ini

“Pengorbanan petugas barisan hadapan ini membuktikan besarnya harga yang dibayar demi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas,” katanya.

Beliau menegaskan, cabaran bekalan elektrik di Sabah adalah isu legasi yang tidak boleh diselesaikan dengan retorik, sebaliknya memerlukan pelaburan, kesungguhan serta kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan.

“Kejayaan memulihkan bekalan di Pantai Timur, walau dalam keadaan sukar, serta pelaksanaan projek tenaga baharu oleh PETRA dan PPKBES, membuktikan kita berada di landasan yang betul ke arah sistem tenaga lebih kukuh,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN