Armizan
KOTA KINABALU: Sabah menegaskan bahawa kerjasama rapat dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bukan bertujuan untuk melemahkan syarikat minyak negara itu, sebaliknya memperkukuh penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertemuan antara Kerajaan Negeri dan Petronas pada 28 Ogos 2021 telah membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua pihak apabila aspirasi serta tuntutan Sabah diserahkan secara bertulis.
“Buat pertama kali, Petronas menerima kerangka menyeluruh syor dan cadangan daripada negeri, bukan sekadar tuntutan yang diutarakan secara lisan di pelbagai platform,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pertemuan itu telah menjadi asas kepada termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Sabah dan Petronas pada 7 Disember 2021.
Melalui CCA, Sabah akan menikmati prinsip greater say, greater participation dan greater revenue sharing dalam sektor minyak dan gas, yang digerakkan menerusi jawatankuasa tetap melibatkan Ketua Menteri Sabah di peringkat tertinggi.
“Kerjasama ini tidak lagi terhad kepada isu royalti atau cukai jualan negeri semata-mata, sebaliknya merangkumi pegangan ekuiti dalam pelbagai projek eksplorasi minyak dan gas serta penglibatan lebih 1,000 syarikat kontraktor tempatan Sabah,” katanya.
Armizan menjelaskan, SMJ Energy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, kini diberi mandat menyelaras dan memantau strategi penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri – upstream, midstream dan downstream.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tuntutan Sabah boleh menjejaskan kedudukan Petronas.
“Kita tidak ada niat meruntuhkan Petronas. Hasrat kita ialah, selepas lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan ‘angsa baharu bertelur emas’ milik Sabah sendiri, iaitu SMJ Energy,” tegasnya.



