ADVERTISEMENTspot_img

Inkues Zara Qairina: asrama tidak dilengkapi CCTV



KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu hari ini bahawa blok asrama Sumayyah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, tempat pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Saksi keenam prosiding inkues, Linah Mansoding @ Jaliha, 64, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu sejak 2012, berkata ketiadaan sistem rakaman dan gril keselamatan di bangunan berkenaan menyukarkan pemantauan terhadap pergerakan pelajar, khususnya pada waktu malam.

“Setahu saya tiada sebarang CCTV dipasang di blok asrama, dan tiada juga gril (besi penghalang) dipasang di koridor bangunan itu,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues.

Menurut Linah, kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu, beliau dimaklumkan seorang pelajar bahawa terdapat pelajar pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah sebelum bergegas ke lokasi.

“Saya melihat Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri, terlentang di longkang berhampiran asrama. Saya segera menghubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari, untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah beliau sempat mengambil gambar keadaan mangsa sebelum ambulans tiba kira-kira pukul 4 pagi untuk membawa pelajar itu ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai, sehari selepas dimasukkan ke hospital berkenaan. Inkues berhubung kematiannya dijalankan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti laporan siasatan polis dan mengarahkan prosiding itu pada 13 Ogos lalu. Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC turut mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN