ADVERTISEMENTspot_img

JALAN DINAIK TARAF: TERIMA KASIH ROBERT TAWIK

Lily

KENINGAU: Penduduk Kampung Tohan Baru menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, atas kejayaan menaik taraf jalan Grabol di kampung itu kepada jalan konkrit yang lebih selesa dan selamat digunakan.

Projek berkenaan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan yang disalurkan menerusi ADUN N.40 Bingkor, sekali gus memberi manfaat besar kepada ratusan penduduk yang sebelum ini berdepan kesukaran akibat keadaan jalan berbatu dan berlumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tohan Baru, Lily Korimput, berkata usaha berkenaan membuktikan komitmen Robert dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

“Penduduk sangat terhutang budi kerana beliau sentiasa mendengar rintihan kami serta segera mengambil tindakan. Slogan ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’ benar-benar diterjemahkan melalui projek ini,” katanya.

Jalan konkrit Tohan Baru yang sudah siap

Lily berkata, dengan adanya jalan konkrit itu, kehidupan seharian penduduk menjadi lebih mudah termasuk memudahkan akses anak-anak ke sekolah, mempercepat urusan pengangkutan hasil pertanian, serta menjamin keselamatan terutama ketika musim hujan.

Beliau turut menyatakan keyakinan penduduk agar Robert terus diberi kepercayaan sebagai calon di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Beliau bukan sekadar berjanji tetapi sudah membuktikan kerja untuk rakyat. Inilah pemimpin yang kami mahu kekal bersama,” jelasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN