Abidin mengagihkan Geran Tanah Pantas kepada salah seorang penerima pada program tersebut
RANAU: Sebanyak 1,004 keping geran tanah di bawah inisiatif Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (Pantas) yang meliputi keluasan 2,110.36 ekar sudah berjaya diserahkan kepada para pemilik tanah di Dun Paginatan setakat ini.
Adun Paginatan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, program Pantas akan terus berjalan sehingga semua permohonan akan diproses kelak.
Walaubagaimanapun, menurut beliau, lebih banyak geran dapat dikeluarkan jika pihak pengurusan tidak menghadapi kesukaran dalam memproses permohonan yang diterima dari pemohon.
“Kita dimaklumkan bahawa terdapat kekangan dalam pengeluaran geran tanah Pantas di mana ramai di kalangan para pemohon kekurangan dokumen lengkap seperti MyKad. Samada tiada diselitkan atau salinan yang tidak jelas.
“Justeru kita meminta kerjasama juga daripada para pemohon agar memudahkan kerja-kerja pihak pengurusan dengan menyediakan dokumen yang lengkap sebelum dihantar untuk diproses,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Program Pantas bagi DUN Paginatan, anjuran Jabatan Tanah dan Ukur daerah Ranau di Dewan Kg Narawang di sini pada hari Rabu.
Dalam majlis itu, beliau menyerahkan sebanyak 147 keping geran tanah Pantas kepada bagi penduduk di tiga buah kampung iaitu Kg Narawang, Lutut dan Waluhu.
Sementara itu, beliau menggesa para penduduk yang belum menerima geran tanah Pantas mereka agar terus bersabar dan yakini bahawa pihak berkuasa akan terus berusaha menyelesaikan semua permohonan yang dibuat.
Beliau turut menasihati mereka yang sudah menerima geran tersebut agar menjaga dengan baik harta milik pusaka yang akan diwariskan turutn temurun kepada anak cucu mereka.
Tambahnya, beliau akan terus berusaha menggesa pihak Jabatan Tanau dan Ukur untuk menyegerakan pengeluaran geran-geran tanah Pantas untuk penduduk kampung yang sudah sekian lama menunggu geran mereka.
Abidin berterima kasih kepada barisan pimpinan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah kerana bertungkus lumus menyelesaikan semua tuntutan di bawah program Pantas, khususnya di daerah ini.
Bagi tujuan itu, beliau turut menggesa rakyat di sini untuk meneruskan sokongan mereka kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya pada Pilihan Raya Umum akan datang, agar lebih banyak manfaat dapat dimanfaat pada masa hadapan.
Turut hadir pada majlis itu, Adun Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Ketua Penolong Pengarah Tanah dan Ukur Sabah (Wakil Pengarah), Ahmad Shah A Kallon, Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Ranau, Jaidi Bin Gulis @ Adrian, wakil OCPD Polis Ranau, ASP Jailix Amindang, UPPM, Hishamuddin Harun, Ketua Kg Narawang, Lutut dan Waluhu dan lain-lain.



