Madius
KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, pada Selasa melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pegawai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang didakwa tidak serius menjalankan tugas mereka di Parlimen.
Beliau merujuk kepada perbahasannya semasa usul Menerima Pembentangan Dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 6 Ogos lalu, di mana isu-isu berkaitan perindustrian dan daya saing Sabah telah dibangkitkan.
Namun, katanya, persoalan itu langsung tidak dijawab oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi penggulungan.
“Sektor pembuatan dan perindustrian adalah tunjang penting untuk melonjakkan Malaysia ke arah menjadi ekonomi ke-30 terbesar dunia.
“Namun, saya amat kecewa apabila pegawai MITI tidak menunjukkan kesungguhan mendengar, apatah lagi memberi maklum balas kepada perkara yang saya bangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu dalam sesi ucapan penggulungan, Zafrul mendakwa isu berkenaan tidak ada dibangkitkan Madius dalam perbahasan 6 Ogos lalu.
Walau bagaimanapun, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu segera menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ia memang terkandung dalam ucapannya.
Situasi itu menyebabkan Zafrul kelihatan menoleh ke belakang seolah-olah mencari pegawainya yang terlepas pandang melihat isu berkenaan.
Beliau kemudiannya berjanji untuk menjawab secara bertulis.
Dalam pada itu, Madius menegaskan, Wilayah Sabah mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan asing dan domestik melalui taman-taman perindustrian seperti Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) serta Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu.
Menurut beliau, usaha melengkapkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan berkenaan memerlukan sokongan segera daripada kerajaan pusat, khususnya MITI.
Katanya lagi, pada Jun 2022, Kerajaan Sabah telah memohon penubuhan Zon Perdagangan Bebas (Free Zone) di POIC Lahad Datu dan diluluskan secara prinsip oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 16 Mac 2023.
“Namun sehingga kini, kelulusan sepenuhnya masih tertangguh disebabkan kekangan bajet untuk menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembinaan pagar.
“Selama ini POIC Lahad Datu terpaksa meminjam dana daripada Kerajaan Persekutuan, namun proses kelulusannya mengambil masa yang amat panjang.
“MITI sepatutnya lebih proaktif dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas ini,” jelas beliau.
Madius turut mendedahkan bahawa POIC Lahad Datu telah memohon kepada Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu yang didakwanya masih daif dan tidak mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Beliau menegaskan, tanpa lapangan terbang bertaraf antarabangsa, perkembangan Free Zone di POIC Lahad Datu akan terbantut serta merencatkan potensi Sabah sebagai hab industri serantau.



