SERAH… Flovia (kelima kiri) menyerahkan geran tanah kepada salah seorang wakil penduduk kampung
SOOK: Seramai 413 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid menerima geran tanah masing-masing pada satu majlis penyerahan di Dewan Kampung Magatang, di sini, pada Selasa.
Penyerahan itu disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng.
Flovia yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dalam ucapannya berkata, pemilikan tanah merupakan aset berharga bukan sahaja untuk keperluan semasa tetapi juga sebagai warisan kepada generasi akan datang.
Beliau mengingatkan penerima supaya tidak menjual tanah berkenaan sewenang-wenangnya, sebaliknya memanfaatkannya untuk membina kehidupan lebih baik, meningkatkan ekonomi keluarga dan menceburi sektor pertanian melalui bantuan agensi berkaitan seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Semoga geran yang diterima hari ini menjadi kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan stabil buat keluarga masing-masing,” katanya.
Menurut Flovia, penyerahan geran tanah itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini, termasuk di kawasan Tulid.
Katanya lagi, program di bawah Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berkenaan dilaksanakan secara berfasa di seluruh Sabah dan kini memberi manfaat kepada penduduk DUN Tulid.
Flovia turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Ukur serta semua pihak yang terlibat menjayakan program itu, di samping berharap usaha tersebut dapat diteruskan secara menyeluruh pada masa akan datang.



