Dari kiri- Arief, Esham dan Rayner
KOTA KINABALU, 15 Ogos — Exco Pemuda Pakatan Harapan (PH) Tuaran menegaskan bahawa keselamatan pelajar perlu menjadi keutamaan mutlak dan sekolah mesti kekal neutral daripada pengaruh politik bagi memastikan tumpuan pendidikan tidak terganggu.
Kenyataan itu merujuk isu berkaitan pelajar yang mendapat perhatian umum, khususnya kes Zara di Papar, serta reaksi Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini yang menegaskan “Jangan ganggu guru kami”.
Menurut kenyataan bersama itu, langkah Kementerian Pendidikan menempatkan sementara kakitangan sekolah terlibat ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sementara siasatan dijalankan adalah prosedur interim yang wajar, namun perlu disusuli dengan pembaharuan menyeluruh agar tragedi sama tidak berulang.
Sehubungan itu, Pemuda PH Tuaran mencadangkan supaya budaya membuli di sekolah dihapuskan sepenuhnya bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selamat. Infrastruktur sekolah juga perlu dipertingkat bagi menjamin keselamatan serta kebajikan pelajar.
Selain itu, organisasi keselamatan sekolah disaran diperkukuh dengan menempatkan warden atau pengawal terlatih yang bukan daripada kalangan guru, sekali gus membolehkan guru menumpukan kepada tugas utama mereka sebagai pendidik.
Mereka turut menekankan keperluan memantapkan sistem keselamatan dengan menyediakan saluran aduan serta dasar perlindungan pelajar yang lebih telus dan berkesan. Program berteraskan kemanusiaan juga disaran dilaksanakan secara menyeluruh bagi membina budaya saling hormat dalam komuniti sekolah.
Kenyataan itu turut menegaskan peranan guru sebagai pendidik yang membentuk generasi masa depan wajar dihormati, namun kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan berkenaan demi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, adil dan kondusif untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang.



