ADVERTISEMENTspot_img

Pusat Autisme Sabah pertama dikendalikan Kerajaan Negeri dirasmikan di Kota Kinabalu

JAMES menurunkan tandatangan pada plak sebagai sembolik perasmian Pusat Autisme Sabah (PAUS) di Sembulan, pada Khamis

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila Pusat Autisme Sabah (PAUS) pertama di negeri ini, malah di Malaysia, yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, mula beroperasi di Sembulan di sini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, berkata penubuhan PAUS membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri melalui pelan Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan kanak-kanak autisme.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah JPKA, Jais Asri, yang disifatkan mempunyai “komitmen kerja terbaik” sehingga berjaya merealisasikan pusat itu yang dikhususkan bagi kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

“PAUS dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan terlatih JPKA dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Usaha ini juga akan diperluas ke Tawau dan Sandakan dalam masa terdekat, selain perancangan membuka pusat seumpamanya di daerah besar lain seperti Kudat dan Beaufort,” katanya ketika merasmikan pusat berkenaan.

Menurutnya, PAUS memberi manfaat besar kepada ibu bapa dengan menyediakan pendidikan awal yang berkualiti dan lebih mampu milik berbanding pusat kendalian swasta, selain memastikan penjagaan rapi termasuk makan dan minum di bawah seliaan jabatan.

“Pendidikan awal ini membantu memupuk kemahiran mengenali huruf, mengawal tingkah laku dan menyediakan kanak-kanak autisme untuk menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan sebenar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penubuhan PAUS selaras dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup, mengurangkan beban kewangan rakyat, serta memperkukuh perkhidmatan sosial di bawah pelbagai agensi kerajaan.

Menteri itu menyeru rakyat, khususnya ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan PAUS demi masa depan anak-anak mereka.

“Kerajaan negeri berharap pusat ini akan terus berkembang di seluruh Sabah dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan sasar. Kita kongsi, kita prihatin,” katanya.

Majlis perasmian turut disertai pegawai kanan kementerian, wakil agensi kerajaan, dan komuniti setempat.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN