Ahli MPP KV Labuan dan KV Beaufort yang menyertai perkhemahan tersebut
LABUAN: Seramai 41 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kloehj Vokasional Labuan (KVL) dan KV Beaufort menyertai Program Perkhemahan Rekreasi, Ikhtiar Hidup dan Kepimpinan
Program selama tiga hari yang diadakan di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berakhir pada Ahad.
Matlamat utama perkhemahan tersebut adalah untuk membina jati diri, memupuk kerjasama berpasukan, mengasah kemahiran kepimpinan, serta mengeratkan hubungan silaturahim antara MPP KV Labuan dan KV Beaufort.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk latihan ikhtiar hidup, aktiviti lasak seperti hiking, rentas halangan, sesi kepimpinan, dan malam kebudayaan.
Aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah melatih kebijaksanaan mereka dalam membuat keputusan pantas, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Labuan, Ts. Irwan Maidin, dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kemahiran kepimpinan tidak hanya diperoleh di bilik darjah, tetapi melalui pengalaman praktikal di lapangan yang menguji daya tahan, disiplin, dan kerjasama.
Beliau juga berharap agar kerjasama erat antara kedua-dua kolej ini dapat diteruskan melalui penganjuran program-program seumpamanya pada masa hadapan.



