Ewon menyantuni penduduk Kg.Togudon yang hadir pada majlis itu
PENAMPANG: Sebanyak 91 orang penduduk di Kg Togudon menerima geran tanah masing-masing yang disukat di bawah Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyempurnakan majlis penyerahan geran tanah tersebut di bangunan premis Tamu Desa Kg Togudon, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, penyerahan geran tersebut yang meliputi keluasan sebanyak 388.86 ekar merupakan fasa pertama penyerahan daripada pengukuran keseluruhan 2,426.57 ekar yang disukat di bawah Program PANTAS.
“Saya maklum dengan isu pemilikan tanah oleh penduduk Kg Togudun yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya. Sebaik dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, isu pemilikan tanah ini merupakan antara yang terawal saya selesaikan.
“Selepas mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji, akhirnya kita telah memulakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS ini pada bulan Ogos tahun lalu, dan hari ini fasa 1 penyerahan geran tanah telah dapat dilaksanakan.
“Penyampaian geran tanah ini telah menamatkan penantian berpuluh tahun penduduk di sini. Saya yakin ini akan membuka era baharu kepada aktiviti ekonomi di kampung ini khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan desa,” katanya.
Penyukatan tanah di bawah Program PANTAS di Kg Togudon merupakan yang pertama dilaksanakan di Penampang hanya selepas Ewon menjadi Ahli Parlimen Penampang.
“Saya beriltizam untuk memperluaskan penyukatan tanah di beberapa kampung lain seperti Kg Moyog, Kg Rugarding dan Kg Kibunut di bawah Program PANTAS.
“Saya telah membangkitkan di Kabinet Persekutuan keperluan meneruskan Program PANTAS ini dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030. Saya gembira kerana ini telah dimasukkan dalam RMK13 sepertimana dibentangkan oleh Perdana Menteri di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.
“Saya akan terus mendapatkan sokongan Ketua Menteri supaya Program PANTAS diperluaskan di kawasan yang saya wakili, iaitu Penampang dan Kadamaian kerana sebahagian besar peruntukan untuk ini disediakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut merasmikan bangunan premis Tamu Desa Kg Togudon dan pelancaran Koperasi Desa Togudon Berhad.



