ADVERTISEMENTspot_img

120 pelajar sertai Klinik Asas Bola Sepak oleh para bekas Pemain Negeri Sabah

Bekas pemain negeri dan penganjur bersama pelajar yang menyertai program tersebut


RANAU: Seramai 120 pelajar dari seluruh daerah mengambil bahagian dalam Klinik Asas Bola Sepak selama dua hari di bawah bekas Pemain Negeri Sabah yang diadakan di sini baru-baru ini.


Program yang diketuai penyerang lagenda Sabah, Datuk James Wong itu turut membariskan pemain yang begitu popular pada tahun 90’an seperti Yap Wai Loon, Harun Laban, Henry Anjun, Gerald Mojilu, dan berapa rakan lain pemain ex negeri.


Program yang diadakan di SMK Lohan itu melibatkan seramai 40 pelajar perempuan dan 80 lelaki daripada empat buah sekolah iaitu SMK Ranau, SMK Mat Salleh, SMK Lohan, SMK Kundasang.


Pengerusi Pasukan Ranau Clasico yang juga Penyelaras Program Zon Ranau, Romzie @ Likad Muhamad berkata Klinik Asas Bola Sepak itu diadakan bagi mencungkil bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


“Kita sentiasa berusaha untuk mencari bakat anak-anak muda lelaki dan perempuan dari peringkat umur 13-15 yang dilihat mempunyai minat dan bakat tinggi dalam sukan ini.

Bekas pemain negeri yang menjayakan program tersebut


“Kita berharap, melalui penganjuran seperti ini akan membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai impian sebagai pemain bolasepak yang baik untuk tampil mengetengahkan diri mereka.


“Program ini juga akan terus diadakan pada masa yang datang dengan harapan bahawa lebih banyak penyertaan daripada golongan sasar dan sekaligus mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi di daerah ini,” katanya.


Sebagai perancangan masa depan, Romzie memberitahu bahawa pemain-pemain berbakat akan dipanggil untuk menyertai latihan di Kota Kinabalu dan seterusnya akan dibentuk ke peringkat lebih tinggi.


Beliau mengucapkan syabas dan tahniah, khususnya kepada semua pelajar yang telah menghadiri program yang jarang diadakan di sini itu dan berharap mereka mendapat pengalaman yang berharga melalui program tersebut.


Beliau turut berterima kasih kepada AJK Penganjur, dan lebih-lebih lagi kepada barisan bekas pemain negeri yang telah menyumbangkan masa, tenaga dan pengalaman mereka demi menjayakan program itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN