ADVERTISEMENTspot_img

Polis siasat insiden langgar lari ragut nyawa seorang ibu

LOKASI KEJADIAN….Pegawai polis IPD Penampang menunjukan lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang ibu dalam kejadian pada Ahad.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sedang menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan maut melibatkan seorang wanita tempatan, dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.

Kejadian dipercayai berlaku pada Ahad, 27 Julai, kira-kira jam 7.30 malam di Jalan Kampung Kimbabangan, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton, ketika kejadian, mangsa berusia 38 tahun sedang berjalan kaki bersama anak lelakinya yang berumur satu tahun lima bulan sebelum dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang seterusnya melarikan diri dari tempat kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia hari ini, lebih kurang jam 3.15 pagi, ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I, manakala anaknya kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kanak-kanak Likas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kenderaan yang terlibat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN