ADVERTISEMENTspot_img

Usahawan adalah nadi penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara: James

Salah seorang usahawan wanita menerima geran perniagaan daripada JHEWA disampaikan James


KOTA KINABALU: Usahawan merupakan nadi penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.


“Dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, sokongan berterusan kepada usahawan amat diperlukan bagi memastikan mereka mampu bertahan, berkembang dan bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.


James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Geran Pembungkusan Produk & Sijil Penyertaan SKM Usahawan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Tahun 2025 di Hotel Hilton


Menurutnya, sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2018 seramai 52 orang usahawan berjaya menerima geran pembungkusan dan pelabelan produk.


Ini, katanya, adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana ia membuktikan bahawa golongan wanita di negeri ini mempunyai semangat juang tinggi serta potensi besar untuk dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.


“Dalam masa yang sama, kita juga meraikan kejayaan 32 orang peserta yang telah berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam pelbagai bidang,” katanya.


James turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima, anda semua adalah contoh terbaik kepada generasi wanita berdikari dan berdaya saing.


“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima geran dan sijil pada hari ini.


“Jadikan kejayaan anda sebagai inspirasi kepada orang lain agar lebih ramai wanita berani melangkah ke dunia keusahawanan,” kata beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN