SIMBOLIK….Ir Mohd Fairuz menyerahkan dokumen projek menaik taraf kuarters Kastam kepada Aspalila.
LABUAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan menyerahkan projek menaik taraf 15 unit Kuaters Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) Labuan di Kampung Layang Layangan yang siap sepenuhnya bulan lalu.
Majlis penyerahan Projek bernilai RM3.19 juta itu disempurnakan oleh Pengarah JKR Labuan, Ir. Mohd. Faizul Mohd Ali Hanapiah kepada Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag.Tuah yang diadakan di Perumahan Kastam Layang Layangan di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Mohd Fairuz ketika berucap pada majlis itu berkata projek yang bermula pada Julai dan siap sepenuhnya pada Penghujung November tahun ini melibatkan tujuh kontraktor bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual.
Jelasnya, projek tersebut melibatkan pembaikan struktur, pengindahan kawasan luaran dan dalaman, menaiktaraf sistem perpaipan dan sanitasi serta penambahbaikan akses lampu jalan raya.
Sementara itu, Aspalila berkata, langkah menyediakan penstrukturan kediaman yang selamat dan selesa kepada anggota Kastam amat penting kerana mereka turut memainkan peranan utama dalam menjamim keselamatan sempadan negara dan memastikan kutipan hasil.
“Pengubahsuaian kuarters ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menambah baik infrastruktur awam di Labuan”, katanya.



