Antara parit-parit di kawasan berkenaan yang sudah lama tidak diselenggara
PAPAR: Puluhan orang petani di kawasan ini memohon pihak berwajib agar membuat dengan serta-merta penyelenggaraan parit-parit ke sawah padi yang lama tidak di servis menyebabkan kejadian banjir di sawah-sawah milik petani terbabit.
Salah seorang petani terbabit, yang juga merupakan Ketua blok pesawah di Kg Limbahau, Julian Jimmy @ Uli, 43 berkata, beliau sudah banyak kali membuat aduan tentang perkara ini kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) daerah, namun belum ada tindakan diambil.
“Masalahnya di sini, sudah berulang kali kami membuat aduan masalah parit untuk pembuangan air dari sawah yang tidak diselenggara dengan baik dan teratur.
“Namun malangnya sehingga sekarang tiada tindakan diambil. Keadaan bertambah teruk sampai lebih kurang 30 orang keluarga petani mengalami banjir di sawah padi kami.
“Di kawasan Kg Limbahau, terutama sekali, ramai petani yang telah mengalami kerugian yang banyak ekoran perkara ini yang tidak ditangani pihak berkenaan,” kata beliau.

Pemandangan sawah padi yang ditenggelami air ekoran parit-parit di kawasan berkenaan yang sudah lama tidak diselenggara
Tambah Julian, baru-baru ini terdapat makluman melalui aplikasi WhatsApp tentang kerja-kerja penyelenggaraan yang akan dilaksanakan dan kontraktor sudah diminta mulakan kerja di samping tender untuk kerja penyelenggaraan di Sg Livagu dalam tempoh terdekat.
“Tapi apa yang mengecewakan ialah apabila banjir sudah berlaku baru keluar cerita kononnya mahu buat kerja dan buka tander. Sebelum ni sudah lama kami minta naik taraf parit tapi asyik alasannya tiada peruntukan sahaja.
“Apa yang dapat dilihat sekarang ialah janji-janji yang tidak terlaksana, dan penduduk di sini, terutama sekali kaum petani sudah bosan dengan janji-janji pihak berkenaan,” tegas beliau.
Menurut Julian lagi, masalah saluran parit berkenaan juga melibatkan beberapa buah kampung berhampiran, sehingga mengakibatkan ada rumah penduduk yang dinaiki air.
Justeru, katanya, penduduk di sini berharap agar pihak berwajib, ataupun pemimpin atasan dapat mendengar dan melihat sendiri luahan permasalahan rakyat di kawasan ini dan tindakan yang pantas dapat diambil bagi menangani isu tersebut.



