ADVERTISEMENTspot_img

Mata air panas Kg Rugading berpotensi besar sebagai pusat pelancongan: Jonathan

Jonathan Bersama para penduduk Kg Rugading dan Gaur dan pegawai serta kakitangan dari Pejabat Parlimen Ranau


RANAU: Kawasan mata air panas Kg Rugading mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


“Tempat ini menarik dan cantik. Walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian seperti jalan raya.


“Satu lagi ialah bagaimana kita boleh mengolah tempat ini menjadi satu tempat dengan tidak melibatkan kos yang besar.


“Seperti di Kampung Nahaba di mana hasil inisiatif dan kerja keras beberapa orang pengusaha dapat membangunkan eko pelancongan mereka di situ dilengkapi dengan homestay yang diperbuat daripada bamboo,” katanya.


Menurut Jonathan, eko pelancongan juga merupakan satu bidang yang penting baru ada keseimbangan di samping aktiviti penanaman yang diusahakan di kampung-kampung.


“Sambil komuniti kampung mengusahakan pertanian, ada juga yang mengusahakan bidang rekreasi, dan apa lagi kalau tempat rekreasi itu menjadi satu pusat pelancongan yang didatangi ramai pengunjung,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa program Santai bersama penduduk Kg Rugading dan Kg Gaur untuk melawat kawasan air panas dekat sini baru-baru ini.

Kawasan riadah di Kg Rugading dan Gaur berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan


Jonathan berkata, ianya merupakan satu program yang baik untuk rapatkan hubungan antara penduduk kampung selain memantau kawasan yang mempunyai potensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan itu.


“Tujuan lawatan ialah untuk melihat sendiri keperluan-keperluan penduduk di sini dari segi infrastrukrur selain melihat samada betul kawasan ini boleh dimajukan sebagai Kawasan rekreasi dan pusat pelancongan.


“Di sini saya menggalakkan agar kawasan ini mendaftar secara khusus kepada badan eko pelancongan dan juga Jabatan Perikanan untuk aktiviti tagal kerana dari situ pengusaha terlibat boleh memohon dana dan bantuan untuk majukan kawasan ini.


“Kerjasama dengan badan pelancongan lain yang mengusahakan produk yang seiringan juga perlu sebagai menyokong dan berkongsi usaha yang dijalankan di sini, supaya jika terdapat cabaran dalam perusahaan ini, pengusaha boleh atasinya bersama.


“Jika kita saling bergaduh dan menjatuhkan antara satu sama lain, akhirnya tiada pihak yang akan menang tetapi semua akan ketinggalan dan tiada kemajuan,” kata beliau.


Berkenaan dengan permohonan-permohonan yang diajukan untuk kawasan tersebut, Jonathan verkata, Pejabat Parlimen Ranau akan meneliti dan melihat mana-mana satu permohonan yang akan dibantu.


Jonathan turut mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk aktiviti rekreasi yang akan dilaksanakan oleh penduduk Kg Rugading dan Kg Gaur pada sekitar bulan Ogos tahun ini.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN