Antara warga emas menerima sumbangan disampaikan Datuk Abidin (bertopi) diperhatikan Datuk Jimmy dan yang lain.
RANAU: Seramai 60 Warga Emas ahli Persatuan Hakka daerah ini telah menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Persatuan Hakka daerah pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Penyampaian Sijil Cemerlang kepada anak-anak ahli Persatuan Hakka di dewan bangunan Sui Fatt Tong Persatuan Hakka di sini pada Ahad.
Tiga orang pelajar anak ahli persatuan turut menerima sijil cemerlang pada majlis tersebut.
Semua sumbangan dan sijil cemerlang telah disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir disaksikan para jemputan serta ratusan Ahli Persatuan.
Abidin dalam ucapan perasmiannya memuji Persatuan Hakka Ranau kerana punyai keprihatinan untuk menyantuni golongan warga emas sebagai mengenang jasa dan pengorban mereka dalam aspek pengasuhan, pendidikan dan didikan kepada anak-anak agar cemerlang dalam kehidupan mereka serta menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Menurut Abidin yang juga Penasihat Undang-Undang Dewan Perniagaan Tionghua dan Persatuan Hakka daerah Ranau, kejayaan persatuan Hakka menganjurkan acara seumpa itu suatu yang positif dan harus diteruskan sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada warga emas serta motivasi kepada golongan pelajar agar lebih berusaha pada masa akan datang.
“Tanpa warga emas siapalah kita, merekalah yang membentuk siapa diri kita hari ini”, tegas Abidin sambil meluluskan sumbangan berjumlah RM10 ribu untuk tabung persatuan Hakka Ranau.
Terdahulu Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Ranau yang juga Pengerusi Persatuan Hakka Ranau, Datuk Dr.Jimmy Tham Yuk Leong, dalam ucapan aluannya, mewakili persatuan merakam penghargaan dan berterima kasih atas kehadiran Abidin bagi menyempurnakan perasmian majlis tersebut meskipun sibuk dengan tugasan lain.
Beliau turut menyeru kepada generasi muda masa kini supaya sentiasa memuliakan, dan menghormati, menjaga kesejahteraan serta kebajikan golongan warga emas.
“Kepada pelajar yang menerima sijil cemerlang hari ini diharap tidak mudah putus asa sebaliknya terus berusaha untuk mecapai cita-cita.
“Kepada semua ahli Persatuan Hakka, saya menyeru agar sentiasa bersatu padu memberi sokongan kepada semua pemimpin khususnya Datuk Abidin demi pembangunan dalam aspek sosial, ekonomi serta pembangunan infrastuktur untuk dinikmati rakyat di daerah Ranau.
           Â



