Haji Yazid menerima cenderakenagan daripada Ketua Penolong Pegawai Daerah Keningau Puan Easter Michael Sutitli @ Norhafizah.
KENINGAU: Untuk menjadi umat Islam yang terbaik seseorang itu perlukan pedoman yang baik.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, tanpa pedoman yang baik nafsu dan keinginan menjadi liar.
“Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW bukan sekadar membawa risalah Islam, malah berperanan sebagai “role model” atau contoh ikutan kepada seluruh manusia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu membangun khaira ummah” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Pedalaman Atas 1445/2024M yang berlangsung di dewan masyarakat di sini pada Khamis.
Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Biro Pendidikan, Media dan Agama DUN N. 40 Bingkor Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles
Katanya, sikap menyerah membuta-tuli tidak harus berlaku di kalangan umat Islam kerana di samping dikurniakan Rasul pembawa rahmat kepada seluruh alam sebagai contoh ikutan, kita juga dikurniakan petunjuk wahyu ilahi, yakni kitab suci al-Quran yang sarat dengan ilmu serta maklumat bagi pedoman manusia.
“Kita juga dikurniakan akal dan hati supaya kita ada kekuatan. Kekuatan ilmu dan nilai memberikan jalan terbaik bagi usaha dan ikhtiar” katanya.
Dengan kata lain katanya, umat Islam perlu bersikap positif, proaktif dan kreatif untuk maju dan membangun bertunjangkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam acuan yang
diredhai Allah.
“Berusaha dengan pedoman Allah, jalannya terang benderang. Berikhtiar dengan reda Allah, natijahnya kemakrufan” jelasnya.
Justeru itu katanya, umat Islam hendaklah sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.
Ini katanya, penting kerana amat pedih untuk berhadapan dengan hakikat
yang dihadapi orang Islam hari ini apabila toleransi tahap tertinggi dalam peradaban dunia telah dibalas dengan pandangan sinis dan sanggahan nakal yang menguji kesabaran kita.
“Di saat inilah tibanya masa bagi umat Islam membersihkan lumpur yang terpalit dengan keazaman penuh hikmah membina kekuatan dalam pelbagai
bidang secara drastik supaya mampu menganjak diri menjadi umat yang bertamadun tinggi dan terbaik” tegasnya.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, dalam kerangka ini, sikap sambil lewa, membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati.
Pada masa sama katanya, semua umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangunkan ummah yang berdaya saing, mapan dan berjaya.
“Hanya melalui pengamalan ajaran Islam sebenar akan memperlihatkan keindahan, kehebatan dan keunggulan syariatnya sekali gus menganjakkan ummah ke status umat yang maju, dinamik dan terbaik” katanya.
Katanya, tanpa menghayati ajaran Islam sebenar, umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh, bahkan akan terus dihina dan diperlekeh.
“Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan unggul, akhirnya
tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.
Malahan, lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran
dan persengketaan di kalangan umat Islam sendiri” tambahnya.
Jelasnya lagi, meskipun al-Quran bukanlah kitab sains, namun terkandung di dalamnya sains atau ayat-ayat yang memberi petunjuk. Mengikut Dr. Zakir Naik seorang pendakwah terkenal, terdapat lebih 1,000 ayat yang berhubung dengan sains.
Katanya lagi, petunjuk-petunjuk saintifik dalam al-Quran terkandung kebenaran dan fakta bukan sekadar hipotesis
atau teori yang masih dalam kajian dan persoalan.
Sebab itu katanya, amat penting bagi umat Islam memahami dan menginsafi tentang kebenaran al-Quran mengenai sains supaya darinya kita dapat membina kekuatan iman dan keyakinan terhadap Pencipta, yakni Allah SWT.
“Dan menerusi jendela Qurani juga kita semua boleh menjadi orang yang bertakwa terhadap kebenaran dan
fakta saintifik yang tidak boleh diragukan lagi.
Kenyataan ini diakui pemenang
Hadiah Nobel, Albert Einstein dengan mengatakan: “Sains tanpa agama adalah palsu dan agama tanpa sains adalah buta” jelasnya lagi.
Oleh hal yang demikian katanya, umat Islam perlu sedar bahawa segala kelebihan yang dimiliki oleh Islam dan umatnya itu akan terus terpendam jika umat Islam masih bertelagah sesama sendiri dan mengabaikan ajarannya.
“Kerana itu, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan kembali menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan serta pedoman dalam kehidupan agar benar-benar menjadi umat dan mukmin yang hebat.
Maka bersempena dengan majlis
yang mulia ini, kukuhkan persaudaraan, binalah perpaduan dan tingkatkan
pencapaian agar kita terus menjadi umat yang terbilang. Sesuai dengan tema MTQ pada tahun ini” Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” katanya.
Beliau berkata, seiringan itu, jangan membiarkan diri hanyut dalam arus perubahan. sebaliknya umat Islam harus mampu menongkah arus modenisasi dan globalisasi berbekalkan semangat ingin bersatu untuk membudaya ilmu serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT supaya beroleh kejayaan serta kebahagiaan yang bermakna di dunia dan di akhirat.



