Jonathan (tengah) merasmikan pertandingan 4×4 RC Challenge anjuran RFC Ranau di Nalumad Eco Tourism pada hari Sabtu
RANAU: Pejabat Parlimen Ranau akan terus menyokong sebarang penganjuran aktiviti yang melibatkan aktiviti Sukan-Pelancongan di daerah ini, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Dari pihak Kami di Pejabat Parlimen Ranau, aktiviti yang melibatkan Sukan-Pelancongan akan terus disokong supaya aktiviti seumpama itu akan terus berkembang maju kerana kesan positif yang ia berikan kepada daerah dan juga penduduk di sini,” katanya.
Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan RFC Ranau Open 4X4 RC Challenge yang diadakan di Nalumad Eco Tourism pada hari Sabtu.
“Syukur, kita berkesempatan menyantuni majlis yang diadaka hari ini. Syabas kepada para peserta yang datang dari seluruh pelusuk Sabah. Lokasi Nalumad Eco Tourism ini suatu tempat rekreasi yg sangat menarik dan menyegarkan!
“Bersyukur kita kepada yang maha Esa kerana kita dalam keadaan yang sihat dan selamat dan dapat berkumpul pada hari ini dalam keadaan aman dan Sentosa, di lokasi yang cukup segar dan terjaga ini.
“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur yang diketuai oleh Pengerusi Penganjur, Kamlee Bin Kairin bersama team beliau, terutama sekali kerana telah berjaya menganjurkan program yang baik, khususnya kepada penggiat aktiviti seumpama ini,” katanya.
Jonathan berkata, sekurang-kurangnya 28 pasukan dari seluruh Sabah telah mendaftarkan diri untuk bersama-sama bertanding dalam acara yang diadakan kali ini.
Tambah beliau lagi, jumlah penyertaan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa acara ini semakin mendapat tempat di hati para penggiatnya.
Beliau mengalu-alukan semua peserta yang hadir pada kali ini, di mana, selain berpuas hati dengan lokasi pertandingan, mereka juga dapat menikmati keindahan alam sekitar serta cuaca nyaman yang ada di sini.
“Nalumad Eco Tourism sangat berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan yang berkembang pesat serta menjadi salah satu lagi daya tarikan pelancong di daerah ini, memandangkan kesegaran alam sekitar yang ada di sini.
“Ambilah peluang ini untuk melihat dan menikmati sendiri kesegaran alam yang ada di negeri kita, khususnya daerah Ranau dan biarlah peluang sebegini mengeratkan lagi silaturahim antara sesame peserta dan juga dengan masyarakat serta pemimpin di sini.
“Dari kami di Pejabat Parlimen Ranau, kami akan membantu dari segi apa yang kami dapat sumbangkan dalam menokong penganjuran aktiviti seumpama ini yang memberikan kesan positif kepada masyarakat kita,” katanya.
Sementara itu, Kamlee berkata, penyertaan dalam acara kali ini melibatkan peserta-peserta dari Ranau, Labuan, Lawas, Kinabatangan, Beaufort, Keningau, Tuaran, Kota Kinabalu, Telupid dan lain-lain.
“Penganjuran kali ini kita adakan di Nalumad Eco Tourism atas permintaan yang sduah dirancang dari tahun lepas lagi namun hanya pada tahun ini dapat dilaksanakan.
“Kita mengucapkan terimakasih kepada YB Jonathan kerana kesudian merasmikan pertandingan pada kali ini, tidak dilupakan juga kepada pengurus venue serta semua peserta yang bertanding kali ini,” jelas beliau.



