Robert Paulus
KENINGAU: Timbalan Ketua Bahagian Parti Solodariti Tanah Airku (STAR) Bingkor, Robert Paulus menafikan khabar angin yang menyatakan beliau akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Sambil menafikan perkara itu, beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu bagi meraih sokongan sedangkan beliau merupakan seorang yang setia terhadap parti STAR.
Tegas beliau lagi, tidak terlintas difikirannya untuk menyertai parti lain kerana beliau amat meyakini perjuangan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan kepimpinan lain termasuk Ketua Bahagian STAR Bingkor Datuk Robert Tawik.
“Saya amat kesal apabila mendapat tahu nama saya digunakan untuk tujuan meraih sokongan, justeru saya ingin tampil menegaskan pendirian saya terhadap parti STAR dan menafikan sekerasnya dakwaan yang menyatakan saya menyertai Gagasan Rakyat.
“Terdapat juga desakan yang dibuat terhadap ahli-ahli STAR yang setia oleh parti lain, namun itu bukan caranya kerana ia boleh memecahbelahkan hubungan diantara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“STAR Bingkor terbuka dengan Gagasan Rakyat Bingkor untuk mengembangkan parti di kawasan Bingkor, namun jangan melalui pendekatan sedemikian sehingga menyerang kepimpinan wakil rakyat.
“Kita amat alu-alukan Gagasan Rakyat Bingkor tetapi janganlah cuba menanam ‘kebencian’ terhadap wakil rakyat (Robert Tawik) semasa dalam majlis himpunan bersama penduduk kerana ia akan mencetuskan perbalahan, ” katanya.
Sebagai parti yang sama-sama berada dalam satu gabungan, seharusnya kepimpinan bersikap lebih matang dengan mengekalkan kesepakatan demi persahabatan dalam GRS.
Tambahnya, kepimpinan perlu mengamalkan sikap yang baik tanpa melakukan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan selain mengurus parti masing-masing dengan berhemah.
Dalam pada itu, Robert Paulus turut menyatakan STAR Bingkor akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.



