SERAH…. Sabli @Bahari (tiga dari kiri) mengetuai penyerahan sumbangan beras salah seorang kepada ketua keluarga dari Kampung Patau-Patau yang akan meraikan majlis perkahwinan anak mereka hujung minggu ini.
LABUAN: Walaupun ketika ini UMNO dalam saat genting kerana menghadapi pelbagai rintangan dan tekanan, namun UMNO Bahagian Labuan tidak seinci pun goyang, malah terus menghulurkan bakti kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
Terbaru, pada Selasa Seketeriat Kebajikan dan Kesejahteraan UMNO Bahagian Labuan melalui Program Peduli Rakyat terus menghulurkan sumbangan beras kepada empat keluarga yang akan melaksanakan Majlis Perkahwinan anak mereka pada hujung minggu ini.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, Program Peduli Rakyat yang dilancarkan pada bulan Mei lalu akan diteruskan bagi membantu rakyat Labuan yang memerlukan bantuan.
“Jalan Terus Program Peduli Rakyat UMNO Labuan|” tulis Mohd Rafi dilaman Facebook miliknya, semalam.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berharap dengan adanya bantuan itu akan dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Sumbangan beras sebanyak 100kg setiap penerima itu telah diselaraskan oleh Pengerusi Seketariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat UMNO Bahagian Labuan, Sabli Jinin.
Selain daripada sumbangan beras kepada pasangan yang akan melaksanakan perkahwinan, UMNO Bahagian Labuan juga turut mengulurkan sumbangan (sedekah) beras sebanyak 50kg kepada waris keluarga yang ditimpa musibah kematian dan program ini telah diselaraskan oleh Seketariat Keagamaan dan Khairat Kematian UMNO Bahagian Labuan.
Untuk rekod Program Peduli Rakyat sumbangan beras adalah hasil idea Datuk Mohd Rafi yang ingin bersedekah kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan dan kepada ahli keluarga yang ditimpa musibah kematian tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik.



