ADVERTISEMENTspot_img

Kenyataan Presiden PAS keterlaluan dan tidak masuk akal: Robert

KENINGAU: Kenyataan Presiden PAS yang menyatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera antara majoriti perosak politik dan ekonomi negara adalah keterlaluan dan tidak masuk akal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata, kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti masyarakat seperti itu tidak wajar diketengahkan bagi mengelak perselisihan faham antara masyarakat.

Katanya, Presiden PAS seharusnya menyedari bahawa tidak semua kelompok masyarakat menyukai kenyataan seumpama itu termasuk mereka yang beragama Islam dan golongan Bumiputera.

“Jangan terlalu riak mengeluarkan kenyataan dan mengenepikan perasaan pihak lain. Politik matang masa kini tidak seharusnya mengheret isu-isu yang menyentuh sensitiviti bangsa dan agama”. Tegasnya.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star) menegaskan, Perdana Menteri Malaysia turut mempromosikan budaya keharmonian menerusi konsep Keluarga Malaysia yang menyatupadukan seluruh rakyat negara ini dalam suasana harmoni.

Tambahnya lagi, sebagai pemimpin politik, beliau tidak akan membiarkan ideologi politik yang menggunakan isu agama dan kaum menular di negeri Sabah kerana rakyat negeri ini sekian lama hidup harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama.

Kenyataan Presiden PAS itu disiarkan portal berita online Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 20 Ogos 2022 bertajuk ‘Hadi Dakwa Bukan Islam, Bukan Bumiputera Jadi Majoriti Perosak Politik, Ekonomi Negara’.

Abdul Hadi turut menyatakan ramai dikalangan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN