ADVERTISEMENTspot_img

PESERTA PROGRAM JERAYAWARA JELAJAH SABAH DIINGATKAN KONGSI MAKLUMAT – DATUK AMISAH

Datuk Amisah Yassin menerima cendera kenangan daripada Datuk Hajah Dr Tarsiah TZ Taman

RANAU: Para peserta Program Jerayawara JelaJah Sabah yang diadakan di Dewan Masyarakat baru-baru ini diingatkan agar mengongsikan maklumat-maklumat penting yang diperolehi sepanjang ceramah kepada masyarakat sekitar.

Berucap merasmikan program tersebut, YB Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan (ADUN) dilantik berkata, ceramah program daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Jabatan Hal Ehwal Wanita berkaitan Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW), Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah berkaitan Pendaftaran Indeks Kesejahteraan Wanita Sabah (IKWS) memberi banyak maklumat tentang bentuk-bentuk perkhidmatan yang disediakan.

“Penganjur program yang bermula seawal pagi hari ini merupakan satu peluang terbaik kepada para peserta untuk mengetahui lebih terperinci tentang bentuk-bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi jemputan untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian. Harapan saya andai kata ada peserta yang masih kurang memahami tentang maklumat atau perkhidmatan yang disediakan, berhubung terus kepada para pegawai yang berkenaan,” jelas Datuk Amisah.

“Syabas kepada yang hadir terutama sekali semua UPPM N36 Karanaan, N37 Kundasang dan N38 Paginatan dan para Pengerusi JPKK. Kita mengharapkan semua yang hadir akan berkongsi pengetahuan tentang maklumat-maklumat yang diceramahkan oleh para pegawai kepada AJK dan masyarakat di kawasan masing-masing,” ujar Datuk Amisah.

Dengan mengambil  contoh Jabatan Hal Ehwal Wanita berkaitan Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) menurut Datuk Amisah, pusat ini menyediakan perkhidmatan bantuan guaman secara percuma kepada wanita berkaitan kes-kes kritikal dalam kekeluargaan Syariah, Sivil dan Adat Negeri. Ini secara langsung dapat membantu mengurangkan kes-kes di Sabah tentang hak-hak wanita dan keluarga yang bermasalah.

Beliau merujuk kepada beberapa kes di Sabah yang melibatkan isu ‘gantung tidak bertali’ yang dihadapi di kalangan wanita berkeluarga. Kes ini berlaku apabila isteri ditinggalkan oleh suami tanpa sebarang ucapan kata cerai. Apabila tidak ada ucapan perkataan cerai maka si isteri masih memegang status isteri walaupun telah ditinggalkan suami. Status ‘gantung tidak bertali’ sesungguhnya boleh membuatkan seseorang wanita itu menderita.

“Demikian juga pengetahuan tentang kepentingan perancangan kewangan yang memainkan peranan penting dalam era globalisasi. Peserta pada pagi ini diberi pendedahan mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Pengetahuan ini membolehkan masyarakat mengetahui bagaimana menguruskan hutang dengan lebih bijak seterusnya memastikan sektor isi rumah mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung pengurusan kewangan,” katanya.

 “Syabas kepada pihak penganjur khususnya Datuk Hajah Dr Tarsiah TZ Taman, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Negeri Sabah dan agensi jemputan khas kerana berjaya mengadakan program yang sangat bermanfaat kepada awam juga kepada Pejabat Daerah dan Majlis Daerah yang telah membantu membuat persiapan program hingga berjalan dengan lancar. Semoga semua objektif program yang telah direncanakan dalam penganjuran program ini tercapai hendaknya,” ujar Datuk Amisah.

Turut hadir ialah, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani dan Ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN