Dr. Hyginus LesterJurulatih Utama Terbaik Kebangsaan
LABUAN – Pegawai School Improvement Specialist Coach (SISC+) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan sebagai Jurulatih Utama Terbaik dalam Persidangan Penyelidikan Pendidikan Peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini.
Dr. Hyginus Lester Junior Lee dari Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran adalah dalam kalangan tiga pemenang jurulatih utama terbaik selain Dr. Hajah Suzlipah Sanusi dari Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya, Pulau Pinang dan Salbiah Ninggal dari Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Melaka.
Mereka menerima hadiah wang tunai RM1,000 tajaan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.
Pemenang saguhati dari Labuan ialah Mohd Asyraf Abd Hamid dari SK Sungai Bedaun dengan kajian tindakan bertajuk “Membantu Penguasaan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik Menggunakan Kad MeKar dalam Mata Pelajaran Sejarah Tahun 5” menerima wang tunai RM800.
Pemenang saguhati lain ialah Sylvianie William (SMK Mutiara), Chua Lai Eng @ Cecilia (SK St. Anne) bersama Muharna Mucklie serta Samih Kukung (SK Sungai Bedaun) yang kesemuanya menerima wang tunai RM400.
Sementara itu, Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Penyelaras Kajian Tindakan Negeri, Zailiana Zainol dan Faridah Amit dari Sektor Perancangan kerana bertindak sebagai urus setia program.

Penyelaras Kajian Tindakan Labuan, Zailiana Zainol.
Beliau turut berterima kasih kepada jurulatih utama negeri, Dalilah Desa, Junaidah Baharuddin, Siti Farah Idayu Madi dan Ciptho Wiryawan.
Zailiana berkata, kajian yang telah dihasilkan oleh guru-guru berfokus kepada pendekatan terbaik PdPR terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19.
“Beberapa bengkel bersemuka dan dalam talian untuk jurulatih dan peserta kajian telah dilaksanakan bagi memudahkan persediaan pembentangan dan penulisan,”katanya.
Beliau berharap lebih ramai lagi guru yang akan berkecimpung dalam kajian tindakan agar berlaku peningkatan kualiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Persidangan Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan Kali ke-XVI dianjurkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasaar Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan tema “Memperkasa Pembudayaan Penyelidikan Mendepani Era Norma Baharu” secara dalam talian pada 14-16 Jun 2022.
Pembukaan persidangan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, manakala upacara penutupan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Pkharuddin Ghazali.
Dalam ucapan aluan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menjalankan tugas Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Zainal Abbas, beliau menyatakan bahawa BPPDP telah menerima 267 kertas kajian tindakan daripada guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara dan hanya 66 disenarai pendek.
Katanya, daripada 66 kertas, 16 dipilih sebagai pemenang dan terdapat 22 lagi pemenang saguhati tambahan.



