ADVERTISEMENTspot_img

Johan Sugandoi Kaamatan Ranau milik Sylvilina Bily

Sylvilina (tengah), Finol dan Sablie meraikan kemenangan pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah 2022

RANAU: Sylvilina Bily yang menyanyikan lagu Nosindualan dan Lamazo Tadau Kaamatan menjadi johan bagi pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Ranau 2022 yang diadakan sempena Pesta Kaamatan tahun ini di Dewan Masyarakat Ranau pada Rabu.

Dengan kemenangan itu, Sylvilina membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala, hadiah iringan, sijil dan peluang bergelar juara pada pertandingan Sugandoi Peringkat Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam acara itu, Fino Eltiko Juanis yang menyanyikan lagu Kakal Poinggirot oleh Gedion Hillarius dan Bulangou oleh Jestie Alexius, muncul sebagai naib juara, di mana dia menerima hadiah wang tunai RM750, trofi, hadiah iringan dan sijil.

Muhammad Sablie Idzham Bin Abdullah dengan lagu Upus Nu oleh Eylia Guntabid dan R’N’R Karamaian oleh Ben Simon Bukag memenangi tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM500, trofi, hadiah iringan dan sijil.

Empat peserta lain, Mohd Sabran bin Andrew, Emma Suhaimi, Mohd Shafiq bin Mulis dan Fify Elvianna Hawang menerima hadiah saguhati wang tunai RM300, trofi dan sijil setiap seorang.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Dalam ucapannya, Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian mengucapkan tahniah kepada peserta yang memenangi Sugandoi Kaamatan dan kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa, boleh mencuba lagi pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa induk Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau dan AJK Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau yang terlibat dalam memastikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau berjalan dengan lancar.

“Semoga dengan adanya Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau ini dapat mengeratkan lagi semangat perpaduan dan semangat cintakan amalan budaya tradisi dalam kalangan masyarakat Ranau secara keseluruhannya,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abd Ghani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin dan Pengerusi Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau, J Sam Hj Sundin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN