Gambar:SERAH… Khalid (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan MyBeras kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Mohd Dzulfaizal (dua kiri) dan Hadnan (tiga dari kanan)
LABUAN: Seramai 2,100 individu yang berdaftar dengan e-kasih menerima bantuan beras di bawah Program MyFood @Wilayah (MyBeras) yang dilaksanakan penyerahannya oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan.
Majlis simbolik pemyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abdul Ghani mewakili Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias di Desa Tunas Hijau, Sungai Miri pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dan Timbalannya, Haji Hadnan Mohamad.
Khalid ketika ditemui media berkata, bantuan MyBeras merupakan salah satu inisiatif tambahan Program MyFood@Wilayah untuk membantu meringankan beban golongan sasar yang berdaftar dengan E-kasih.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim atas keprihatinan untuk membantu warga Labuan khususnya penerima bantuan tersebut.
“Saya bagi pihak warga Labuan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana Labuan tidak dipinggirkan daripada menerima bantuan dan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan sasar” katanya.
Sementara itu, Mohd Dzulfaizal berkata, bantuan MyFood @Wilayah (MyBeras) akan dilaksanakan selama lima bulan bermula pada April sehingga Ogos yang diagihkan satu kampit beras (10kg) setiap bulan kepada 2,100 penerima.
“Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menyelaras pengagihan bantuan MyBeras kepada 2,100 penerima yang akan menerima satu kampit beras (10kg) setiap bulan untuk tempoh lima bulan” katanya.
Katanya, Kementerian Wilayah melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah memperuntukan lebih 10,000 kampit beras untuk diagihkan kepada penerima yang tersenarai dalam program E-kasih.



