Hampir siap…..beginilah keadaan jambatan Kampung Layon yang sedang dalam pembinaan.
NABAWAN:Jambatan di Kampung Layon yang menyeberangi sungai Talangkai dijangka siap selewat-lewatnya minggu depan.
Ketua Kampung Layon, Makiong Kinayoh berkata, jika tiada halangan atau cuaca mengizinkan, pembinaan jambatan itu akan siap lebih awal.
“Jambatan yang dibina oleh Sento Timber itu, menggantikan jambatan yang hanyut akibat banjir pada Mac lepas” katanya ketika dihubungi hari ini.
Makiong berkata, berikutan ketiadaan jambatan selepas banjir itu menyulitkan penduduk kampung dan warga Sekolah Kebangsaan Layon keluar ke pekan sama ada ke Keningau atau Nabawan.
“Kita berharap pembinaan jambatan itu akan siap dengan segera bagi memudahkan penduduk kampung menjalankan urusan harian” katanya.
Bagi pihak penduduk, Makiong mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak syarikat yang melaksanakan pembinaan jambatan itu.

Makiong…..berharap pembinaan jambatan akan siap segera.
“Tidak lupa juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin atas usaha menghubungi pihak pengurusan syarikat untuk membina semula jambatan itu” jelasnya.
Sementara itu pejabat ADUN N.46 Nabawan memaklumkan Ghani yang Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah(LKTNS)akan melawat Kampung Lumiri dan sekitarnya pada Isnin.
Tujuan lawatan itu adalah meninjau beberapa masalah akibat banjir termasuk jambatan dan jalan yang rosak.



