SOKONGAN….sebahagian daripada warga JPWPL bersama Yusup (tengah) yang hadir melaksanakan gotong royong EKSA
LABUAN: Ahli Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan gotong-royong sebagai usaha mencapai semula persijilan EKSA oleh pihak MAMPU.
Gotong royong perdana yang diadakan di kawasan bangunan Sektor Teknologi Pendidikan JPWPL, Kampung Sungai Lada itu telah dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad, baru-baru ini.
Seramai 80 warga JPWPL menyertai gotong royong tersebut untuk membersihkan seluruh kawasan yang membabitkan lapan zon bagi memastikan ianya kelihatan kondusif dan bersih sekaligus mengembeling tenaga untuk mencapai pensijilan semula EKSA .
Terdahulu Yusup ketika berucap pada program itu, menekankan kepada semua warga JPWPL supaya memastikan pejabat sentiasa kondusif bagi warga kerja dan juga kepada pelanggan.

YUSUP menanam anak pokok sebagai tanda simbolik gotong royong perdana EKSA.
“Dengan Amalan EKSA diharap mewujudkan suasana dan budaya kerja di jabatan yang lebih tersusun, kemas, selesa dan selamat.
“ Pelaksanaan Amalan EKSA memerlukan komitmen daripada semua peringkat warga jabatan. Janganlah menganggap pelaksanaan EKSA merupakan tambahan tugasan tetapi sebaiknya amalan EKSA diserap, dihayati dan diamalkan bagi mewujudkan suasana kerja yang aman, selain dapat memupuk semangat berpasukan dan bertanggungjawab” katanya.
Selain itu katanya, ianya akan dapat menggalakkan aktiviti pembudayaan Amalan Hijau disamping meningkatkan imej korporat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada program itu Yusup turut menanam sebatang anak pokok sebagai tanda simbolik pembudayaan amalan hijau dan pelaksanaan gotong royong.
Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Yahya Ahmad Putih, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPWPL, Marten Datuk Abdul Rahman serta Ketua-Ketua Penolong Pengarah yang lain.



