ADVERTISEMENTspot_img

Pemimpin-pemimpin masyarakat digesa main peranan penting masing-masing: Ellron

Ellron menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah kepada salah seorang pemimpin masyarakat pada majlis itu.

SOOK:Pemimpin-pemimpin masyarakat digesa agar memainkan peranan penting masing-masing dalam memastikan kemajuan serta pembangunan masyarakat setempat seiring dengan pembangunan di bandar. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook Datuk Ellron Alfred Angin berkata, pemimpin-pemimpin masyarakat perlulah memahami skop tugasan masing-masing bagi membolehkan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian semasa berucap pada program santai dan Jamuan Makan Yang Berhormat Datuk Ellron Alfred Angin dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Anak Negeri, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) di Daerah Kecil Sook di rumahnya di Kampung Biah kelmarin.

Katanya, pemahaman terhadap skop tugas adalah penting bagi memudahkan para pemimpin masyarakat bertindak secara efisien, cepat serta kolektif iaitu mengambil kira suara ramai tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Wakil rakyat Sook itu turut meningatkan bahawa pemimpin masyarakat adalah suara rakyat di kampung masing-masing.

“Segala permasalahan dan keluhan penduduk adalah tanggungjawab mereka untuk menyampaikan kepada pihak atasan.  Anda adalah jambatan antara penduduk kampung dan peringkat atasan, oleh itu segala permasalahan kampung hendaklah dilaporkan kepada pihak atasan, ini penting bagi memastikan kampung anda tidak jauh tertinggal daripada limpahan kemajuan semasa” jelas Ellron

Program yang dianjurkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat  (UPPM) Sook itu dihadiri oleh pemimpin-pemimpin masyarakat dari Mukim Sook, Mukim Dalit dan Mukim Ansip.

Program santai itu turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Sook Paul F. Isidore, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)Sook Tony Talasoi, Ketua Daerah Sook Risi Raimon, kakitangan UPPM Sook dan Ahli-Ahli Mahkamah Anak Negeri DUN Sook.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN