Athtur (depan lima dari kanan)bersama Robert (lima dari kanan)dan rombongan semasa melawat tapak jambatan kekal yang akan dibina.
KENINGAU:Kerajaan telah memutuskan untuk membina jambatan kekal merentasi anak sungai yang mengalami kerosakan pembentung dan runtuhan jalan di laluan Persekutuan 500 Jalan Kota Kinabalu – Keningau – Tenom di kilometer 117.100 berhampiran Kampung Liau Laut.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kementerian Kerja Raya di peringkat Persekutuan dengan melalui kerjasama Jabatan Kerja Raya Sabah telah melaksanakan kajian serta penilaian teknikal dan mempertimbangkan kaedah penyelesaian terbaik yang perlu dilaksanakan untuk jangka masa panjang.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan telah memutuskan untuk membina jambatan kekal yang dianggarkan sepanjang 30 meter merentasi sungai tersebut yang dijangka bermula dalam masa tiga bulan.

Jambatan bailey yang dibina sebagai langkah sementara bagi membolehkan kenderaan melalui jalan tersebut.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, pada masa ini Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan Syarikat Konsensi Lintasan Resources Sdn Bhd telah melaksanakan tindakan susulan dengan menggantikan pembentung yang rosak dengan membina lencongan sementara iaitu Jambatan Bailey bagi menghubungkan jalan yang putus.
“Pembinaan Jambatan Bailey ini berfungsi untuk jangka masa pendek dan sederhana agar kapasiti aliran air dapat mengalir dengan lebih baik dan
mengurangkan risiko runtuhan berulang” katanya selepas mengadakan lawatan di tapak jambatan kekal itu hari ini.
Beliau memberitahu, spesifikasi, kos dan rekabentuk jambatan kekal akan dimuktamadkan berdasarkan kaedah yang paling cepat dengan kos yang paling munasabah bagi menyelesaikan masalah ini untuk keselesaan rakyat.
“Pembinaan jambatan kekal yang dianggarkan mengambil masa selama 18 bulan. Jambatan kekal ini akan membolehkan aliran trafik menjadi lancar dan membolehkan kenderaan yang mempunyai had berat muatan tinggi sehingga 60 tan melalui jalan tersebut” jelasnya.
Pembentung di anak sungai itu rosak dan menyebabkan runtuhan jalan akibat hujan lebat yang berlaku pada awal bulan November lalu.
Turut sama dalam lawatan itu Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah JKR Negeri Sabah Datuk Ir. Haji Ali Ahmad bin Hamid.



