Oleh ADUKA JASNIN SUMAN
KUNDASANG: Kejadian tanah runtuh dan jambatan rosak di Kilometer 3.8, Jalan Kundasang menuju Kg.Kauluan di sini pada Rabu, memaksa laluan tersebut ditutup sementara.

Jurutera Daerah, Mac Glen Frederick Lojuman ketika mengesahkannya berkata, jalan tersebut terpaksa ditutup dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Katanya, penutupan itu dibuat selepas jambatan kayu (SGTD) yang menghubungkan Pekan Kundasang dan Kg.Kauluan mengalami kerosakan berpunca dari banjir lumpur yang menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan awal dengan meletakan papan tanda dan pita amaran sepanjang kira-kira 150 meter, di mana berlakunya runtuhan itu.
“Mujur di sepanjang kawasan berlaku runtuhan, didapati tiada bangunan atau rumah didirikan,” katanya ketika dihubungi Borneo Buletin hari ini.
Menurut Mac Glen, sementara pihaknya melakukan kerja-kerja pembaikan jalan dan jambatan yang rosak, laluan alternatif kini sedang dibina.
“Pengguna jalan terpaksa menggunakan laluan alternatif, Jalan Pinausok -Kauluan dan Jalan Kundasang Kauluan buat sementara.
-Mac Glen-
“Temporary diversion or Bypass akan dibina dengan segera menggunakan Twin Cell Culvert dengan size 1200mm diameter untuk laluan kenderaan sementara pembaikan semula jambatan asal,” jelasnya.

Tambahnya, kerja-kerja membaiki kerosakan jalan dan jambatan dijangka siap dalam tempoh tiga hari.
Dalam kejadian kira-kira jam3.30 petang Rabu, telah berlaku banjir lumpur pada sebatang anak sungai dekat Kg. Kauluan, lalu mengakibatkan tanah runtuh dan kerosakan jambatan.-TAMAT-



