ADVERTISEMENTspot_img

Rumah ibu Adira AF dipecah masuk lelaki bertopeng.

Oleh Aduka JS|| BB || 15 November 2019.

RANAU: Ibu kepada penyanyi kelahiran Akademi Fantasia AF8, Adira Suhaimi, kerugian kira-kira RM30 ribu selepas rumah ibunya dipecah masuk awal pagi Khamis, 14 November.

Hubungi kami untuk perkhidmatan

Dalam kejadian kira-kira jam5.30 pagi itu, rumah ibu Adira, yang terletak di tepi jalanraya utama Ranau-Kundasang dekat Kampung Pinausok di sini, dipecah masuk seorang lelaki tidak dikenali.

Menurut ibu Adira, Rujina Sarungin, 60, yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau pada hari yang sama memberitahu, semasa kejadian, beliau sedang berehat di ruang tamu rumahnya selepas selasai membasuh pakaian.

“Saya kemudiannya ke ruang dapur untuk masak air. Semasa berada di dapur, saya terdengar pintu jeriji besi dibuka oleh seseorang.

“Mengesyaki sesuatu, saya terus ke ruang tamu dan terserampak dengan seorang  lelaki berpakaian serba hitam, bertopeng dan memakai  sarung tangan. Saya melihat dia sedang memegang beg tangan  saya yang saya letak di atas meja ruang tamu,” katanya.

Beliau bertindak merampas semula beg tangan miliknya daripada lelaki itu, namun tidak berjaya.

“Semasa saya bergelut untuk perampas beg itu, saya ditolak dengan kuat sehingga tersandar di pintu jeriji besi. Saya tidak berdaya melawannya dan saya mengalami kecederaan di tangan.

“Lelaki itu kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menggunakan motosikal menuju ke arah Kundasang. Saya juga tidak sempat mengecam jenis motor dan nombor pendaftaran yang digunakan,” jelas ibu Adira.

Menurutnya,  antara yang hilang dalam kejadian malang itu ialah wang tunai, barang kemas, beg tangan berjenama yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM30 ribu.

Semantara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Shahrul Datuk Haji Abdul Wahab,  ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Menurut DSP Mohd Shahrul, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, diminta untuk menghubungi pihak polis dengan segera. -BB-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN