25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

80 Pelajar Sertai Program Renjer Muda Taman-Taman Sabah

Pameran ketika Program Renjer Muda

KUNDASANG: Seramai 80 orang pelajar sekolah menengah daripada lapan buah sekolah di Daerah ini mengikuti Program Renjer Muda Taman-Taman Sabah yang di adakan di sini pada Khamis.

Program Renjer Muda Taman-taman Sabah: Pemulihara Hutan (Penyelidikan Cendawan Borneo) Sempena Hari Cendawan Sedunia 2025 yang diadakan di Dewan Kinabalu, Kundasang itu adalah kali kelima diadakan.

Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Bundu Tuhan, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMK Lohan, SM Agama Al-Irsyadiah, SMK Matupang Jaya, SMK Kemburongoh dan SM Agama Mohamad Ali.

Program itu dirasmikan oleh Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin bin Lakim yang diwakili Timbalan Pengarah, Bahagian Pentadbiran, Kewangan, Penyelidikan dan Inovasi, Taman-taman Sabah, Rimi Repin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, program itu lebih istimewa kerana diadakan di Taman Kinabalu, iaitu Tapak Warisan Dunia pertama Malaysia serta merupakan Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Melalui aktiviti selama beberapa hari itu, para peserta telah diberi peluang untuk melihat sendiri keadaan ekosistem hutan, mengenali spesies cendawan, memahami peranan organisma ini dalam ekosistem, serta mempelajari kaedah penyelidikan asas.

Program ini, katanya, bukan sahaja bertujuan untuk memberi ilmu, tetapi juga untuk membentuk sikap, nilai dan kesedaran diri sebagai penjaga alam sekitar.

“Apa yang lebih penting ialah peranan kamu selepas program ini berakhir. Kamu kini membawa gelaran sebagai Renjer Muda Taman, dan dengan gelaran ini datangnya tanggungjawab untuk menjadi contoh kepada rakan-rakan dan komuniti sekeliling.

“Perubahan besar bermula dengan langkah kecil, dan kamu semua mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin muda dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Selain itu, saya berharap agar pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat menyemarakkan lagi minat kamu dalam bidang sains, biologi, pemuliharaan dan teknologi,” katanya.

Jika minat ini dapat terus dipupuk, Dr. Maklarin berkata, tidak mustahil suatu hari nanti ada dalam kalangan para peserta yang akan menjadi ahli biologi, penyelidik, ahli ekologi, renjer taman atau pengurus kawasan konservasi.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta serta guru-guru pengiring yang telah berjaya mengikuti porgram selama 3 hari 2 malam itu.

Sementara itu, beliau berkata, kedudukan Taman Kinabalu sebagai kawasan bertaraf dunia bukan sahaja menjadi lambang kekayaan biodiversiti negeri Sabah, malah menjadi lokasi pembelajaran yang amat sesuai bagi menyemai minat dan kefahaman generasi muda terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Taman-Taman Sabah memikul amanah besar dalam memelihara dan mengurus kawasan perlindungan negeri.

Antara Renjer Muda yang menyertai program itu

“Kita juga menjadi agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga tiga tapak UNESCO, iaitu Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Crocker Range Biosphere Reserve.

“Pengiktirafan ini menjadikan Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang memiliki status UNESCO Triple Crown. Status ini bukan sahaja membawa kebanggaan kepada negeri tetapi juga tanggungjawab yang besar untuk memastikan kawasan-kawasan ini terus dipelihara,” katanya.

Menurutnya lagi, Program Renjer Muda bertemakan cendawan pada tahun ini menandakan tahun kelima kerjasama antara Taman-Taman Sabah dan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“IBTP UMS telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepakaran penyelidikan serta pengisian ilmiah berkaitan cendawan.

“Kerjasama berterusan ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh pendidikan alam semula jadi dari segi impak, penyampaian dan pencapaian,” katanya.

Pada tahun ini, katanya, beberapa aktiviti telah ditambah baik melalui penerapan elemen STEM bagi memperkaya pemahaman peserta dalam bidang penyelidikan dan aplikasi sains dalam pemuliharaan biodiversiti.

“Kita semua sedar bahawa cabaran alam sekitar pada masa kini semakin mendesak. Perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, pencemaran, bencana alam dan kehilangan habitat terus memberi tekanan kepada ekosistem kita.

“Walaupun pelbagai program pendidikan alam sekitar dijalankan setiap tahun, perubahan sikap dan tahap kesedaran masyarakat masih belum berada pada tahap yang memuaskan.

“Di sinilah program seperti Renjer Muda Taman memainkan peranan yang sangat signifikan,” katanya.

Dr Maklarin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program itu.

“Terima kasih kepada pihak Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Pusat Biodiversiti Sabah, guru-guru pengiring; serta ibu bapa yang memberikan sokongan penuh kepada anak-anak untuk menyertai program ini.

“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

“Semoga usaha berterusan seperti ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih peka, bertanggungjawab dan berpengetahuan mengenai pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau Barizah Binti Mohd Kahar, Pengarah, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim, Timbalan Pengarah (Penyelidikan Dan Inovasi), Institut Biologi Tropika Dan Pemuliharaan, UMS Prof Madya Dr Jaya Seelan A/l Sathiya Seelan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan Dan Pendidikan, Taman-taman Sabah Fazrullah Rizally Bin Abdul Razak dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN