Peserta Siswa Prihatin UMSKAL melakukan senam robik sebelum gotong royong.
LABUAN: Seramai 55 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan ( UMSKAL) menjayakan Program Siswa Prihatin UMSKAL yang diadakan di salah sebuah rumah penduduk kampung di Tanjung Aru, baru baru ini.
Program yang dijalankan sehari itu dianjurkan bersama Pengurusan Organasasi Pelajar Seksyen 101 UMSKAL dengan Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Aru.
Menurut Pengarah Program Siswa Prihatin UMSKAL, Muhamad Mirza Maideen, program itu bertujuan untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti setempat.
“Melalui program ini kami berharap dapat memupuk semangat kebersamaan, selain menjadikan mahasiswa sentiasa prihatin dan menghargai komuniti di sekeliling kami”, katanya.
Jelasnya sepanjang berada di kampung itu pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya, suai kenal dengan kepimpinan penduduk kampung, demontrasi memasak ambuyat, gotong royong, sukan rakyat dan melawat bengkel kraftangan yang dihasilkan daripada tempurung kelapa.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Tanjung Aru, Haji Harun Damit yang turut bersama sepanjang program itu menyambut baik kehadiran mahasiswa berkenaan.
Katanya kehadiran mahasiswa bukan saja mewujudkan interaksi sosial bersama penduduk kampung, tetapi juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.
Hadir sama, Setiausaha JPKK Tanjung Aru, Sani Abdul Rahman dan Pengerusi Pantaran Biskita, Amit Hamdani.